Wednesday, December 16, 2009

2 - Islam di Alam Melayu

BAB 2: Islam Di Alam Melayu
2.1 Teori Kedatangan Islam Ke Nusantara

Pada dasarnya proses Islamisasi di Nusantara berlaku dalam dua tahap:

1. Dari abad ke-7 —13 M yang kebanyakannya dijalankan oleh orang-orang Arab sendiri.

2. Dari abad ke-13 M dan seterusnya yang dijalankan oleh mubaligh-mubaligh India, Arab dan juga orang-orang tempatan. Tahap ini pula memperlihatkan beberapa ciri yang menarik:

(i) Pada tahun 1200-1400 M, bidang Fiqhiah yang banyak memainkan peranannya di kalangan orang-orang Melayu., sedangkan konsep Tauhid masih kabur. Tahap ini dapat disifatkan sebagai perubahan dari segi luaran.

(ii) Pada tahun 1400-1700 M, di samping meneruskan proses di atas, aspek yang banyak memainkan peranannya ialah Ilmu Tasawuf dan Ilmu kalam, iaitu pentafsiran konsep-konsep Tauhid belaka. Tahap ini dikatakan telah merobah 'jiwa' orang-orang Melayu.

(iii) Sejak tahun 1700 M dan seterusnya, di samping menyambung tahap-tahap (i) dan (ii) di atas, tahap inilah bermulanya proses pembaratan (Westernisation) yang menekankan sikap rasionalisme, individualisme dan internasionalisme yang sebenarnya yang telah dimulai oleh Islam dulu.

Beberapa hujah dapat dikemukakan di sini tentang bukti-bukti kedatangan Islam sejak abad pertama Hijrah lagi. Pertama-tama kita harus merujuk kepada hubungan negeri Arab dengan China melalui kawasan-kawasan Asia Tenggara sejak zaman Jahiliah lagi. Bagi Dr. O.W. Wolters, hubungan perdagangan antara Parsi dengan China telahpun wujud sejak abad ke-3 M, yang akhirnya turut mempengaruhi sejarah Indonesia Barat. Dikatakan bahawa China sangat memerlukan barang-barang 'Po-ssu' (Parsi), tetapi dengan tertutupnya jalan perdagangan darat, barang-barang 'Po-ssu' itu dikeluarkan oleh Indonesia sendiri, iaitu sekitar abad-abad ke-5 dan 6 M. Pusat baru yang mengeluarkannya ialah Kan-to-li, iaitu pendahulu kerajaan Srivijaya.

Bagi Marshall Broomhall, perhubungan antara orang-orang Arab dengan China berlaku pada pertengahan abad ke-5 M., dan baru berpengaruh di zaman Tang (618-907), hingga dapat mencetuskan pemberontakan pada 758 M. Bagaimanapun pada 878 M, tercetus suatu pemberontakan petani di Canton pimpinan Huang Chao yang mengorbankan antara 120,000 hingga 200,000 orang-orang Islam (Arab dan Parsi).

Bagi mereka yang sempat melarikan diri kemudiannya telah berhijrah ke Nusantara. Menurut Prof. Wang Gungwu, mulai abad ke-9 M, pedagang-pedagang Arab telah menguasai perdagangan-perdagangan Nanhai (Asia Tenggara). Kapal-kapal mereka dikatakan telah belayar dari Oman ke Kedah, iaitu pelabuhan kerajaan Srivijaya. Sebenarnya sekitar 850 M, Kedah adalah sebuah pelabuhan yang terpenting bagi kapal-kapal Arab. Ibnu Khuzdazbih sendiri menyebutkan bahawa pada tahun 846 M terdapat pedagang-pedagang Arab di Kedah. Hakikat adanya mereka di sini terbukti dengan terjumpanya dua keping dirham tempaan Baghdad tahun 848 M, iaitu di zaman khalifah Al-Mutawakkil bin Al-Muktasim.

Wujudnya perhubungan orang-orang Arab dengan kawasan-kawasan Asia Tenggara sejak abad pertama Hijrah lagi diakui oleh Prof. Thomas Arnold: It (Islam) may have been carried thither by the Arab traders in the early centuries of the Hijrah, long before we have any historical notices of such influences being at work.

Dari apa yang dikemukakan di atas, nyatalah bahawa faktor perdaganganlah yang membawa orang-orang Arab ke China melalui kawasan Asia Tenggara. Sungguhpun Asia Tenggara tidak lebih sebagai kawasan lalu lintas perdagangan sahaja, namun terdapat bukti-bukti yang mereka telah mengadakan penempatan atau perkampungan di sini sejak permulaan Islam. Misalnya suatu rombongan sahabat-sahabat Nabi yang diketuai oleh Wahab bin Abi Qabahah dikatakan telah mengunjungi Riau pada 627 M. Selama lima tahun mereka di sana, baru mereka pulang ke Madinah, iaitu sebulan setelah wafatnya suatu perkampungan orang-orang Arab di Sumatera Timur pada 674 M. Ini ditegaskan juga oleh J.C. Van Leur: It goes without saying that there were also Moslem colonies to be found at the intermediary stations on the long trade route in Southeast Asia. That there are allusions to Arab settlements or colonies on the west coast of Sumatra as early as 674 AD.

Hubungan antara orang-orang Arab (Islam) dengan Nusantara menjadi lebih bermakna di zaman Bani Umayyah. Muawiyah sendiri pernah mengutus surat kepada Raja Srivijaya 'Lokitarvarman' di Jambi melalui pedagang-pedagang Parsi, dan mempelawanya memeluk Islam serta mengadakan hubungan perdagangan dengan Damshik.

Dari catatan-catatan Ferrand dan Schrieke pula, disebutkan bahawa suatu armada yang terdiri daripada 35 buah kapal-kapal Parsi telah berlepas ke Ceylon menuju Palembang pada 717 M, dan tinggal di sana selama lima bulan, kemudian baru menuju China. Tidak syak lagi bahawa angkatan ini adalah milik Khalifah Umar Abdul Aziz (717-720) yang mana banyak sekali mengirim misi-misi dakwah Islam ke serata negeri.

Bahkan di zaman Umarlah Raja Srivijaya 'Srindavarman' (pengganti Lokitarvarman) dikatakan telah memeluk Islam, hingga sepanjang 100 tahun kerajaannya masyhur dengan nama 'Kerajaan Sri Buddha Islam'. Bukti adanya hubungan antara Umar dengan Raja Srindavarman ini terdapat pada copy correspondence antara Umar dengannya, yang fotokopinya masih tersimpan dalam koleksi General Abdul Kadir di Muzium Sepanyol di Madrid.

Bagaimanapun selepas itu pengaruh Islam lenyap di Srivijaya akibat counteraction dari wangsa Tang yang merasa kepentingan ekonominya tergugat oleh kegiatan-kegiatan Bani Umayyah. Untuk itu diutusnya dua orang sami Buddha-Mahayana iaitu Wajarabodhi dan Amoghabajra ke Srivijaya. Usaha-usaha China telah mengakibatkan kematian Raja Srivijaya Indravarman pada 730 M, dan dengan itu pusatnya lalu beralih dari Jambi ke Palembang.

Kesimpulan

1. Faktor perdagangan telah membawa orang-orang Arab ke Nusantara, iaitu sejak zaman Jahiliah lagi.

2. Kegiatan-kegiatan dakwah Islamiah pada peringkat awalnya adalah dilakukan oleh orang-orang Arab sendiri.

3. Misi-misi dakwah Islamiah ke Nusantara telah bermula sejak zaman Rasulullah lagi, dan semakin diperhebatkan oleh Umar Abdul Aziz. Semuanya ini berlaku sepanjang abad pertama Hijrah lagi.


Teori-Teori Kedatangan Islam
Beberapa teori telah dikemukakan tentang asal-usul Agama Islam di Nusantara; adakah ianya datang melalui India dan China, ataupun terus dari Arab atau Parsi.

(i) Teori dari India

Berbanding dengan teori-teori lain, teori dari India-lah yang lebih banyak pendukungnya. Bagaimanapun sarjana-sarjana tidak sependapat tentang dari daerah manakah di India tersebut yang membawa Islam ke sini. Van Ronkel misalnya menganggap yang Islam dibawa dari India Selatan, dengan alasan bahawa bentuk-bentuk popular Islam seperti ciri-ciri mistik, sastera roman dan sebagainya di Indonesia itu adalah berasal dari India Selatan. Sebab itu katanya Islam di Indonesia berasal dari sana, bukannya terus dari Arab.

Jika van Ronkel menekankan India Selatan, Moquette dan R.A. Kern pula memilih Gujerat sebagai tempat asalnya Islam. Dalam hujahnya. Moquette mengemukakan bukti tentang adanya kesamaan batu-batu nisan di Pasai (1428) dan di Gerisek (1419) dengan batu nisan di Gujerat. Jadi Islam semestinya berasal dari kawasan Gujerat.

Teori dari Gujerat ini nampaknya dicabar oleh G.E. Morrison, sebab baginya. ketika Samudera diislamkan, Gujerat dan daerah-daerah lain di India masih lagi beragama Hindu. Menurutnya Bengal-lah yang lebih dulu menerima Islam, iaitu setelah ditawan oleh orang-orang Islam sejak awal abad ke-13 M, kemudian baru diikuti oleh kawasan-kawasan lain. Lagipun Gujerat bermazhab Hanafi, sedangkan Nusantara, seperti juga Bengal, adalah menganut mazhab Shafie. Sebab itu Bengal lebih munasabah dari Gujerat sebagai tempat kedatangan Islam.

Di samping Morrison, S.Q. Fatimi juga menolak hujah tersebut. Menurutnya, Malikus-Salleh bukanlah orang tempatan, tetapi orang Benggali. Sebab itu negeri Bengalalah negeri yang utama dari mana asalnya agama Islam di Nusantara. Mengenai batu-batu nisan tersebut, bagi Fatimi batu nisan Malikus-Salleh (1297) berbeza daripada batu nisan di Pasai (1428) dan batu nisan Malik Ibrahim di Gerisek (1419). Jika Kern berpendapat bahawa batu nisan Malikus-Salleh ju- ga berasal dari Gujerat oleh kerana batu-batu nisan di Pasai dan di Gerisek juga berasal dari sana, adalah kurang tepat. Gujerat hanya baru memeluk Islam menjelang akhir abad ke-13, setelah itu baru hubungan perniagaan dengan Nusantara bertambah rancak. Batu-batu nisan dari Gujerat memangnya sangat digemari, tetapi ia baru dikirim ke Nusantara selepas 200 tahun mangkatnya Malikus-Salleh. Dari segi lain pula, percubaan Moquette mengaitkan tempat asalnya batu-batu nisan tersebut sebagai membuktikan tempat asalnya Islam di rantau ini nyatalah suatu kekeliruan yang besar. Bagi Syed Muhammad Naguib Al-Attas, adalah batu-batu di sini cuma menunjukkan yang ianya mudah dipesan dari sana, bukannya menunjukkan Islam datang dari sana.

Sebenarnya pendapat Morrison bahawa Gujerat tidak menganut mazhab Shafie tidaklah begitu tepat, sebab pada peringkat awalnya kawasan-kawasan di barat India adalah menganut mazhab tersebut, sama seperti sebelah selatannya, termasuk Bengal sendiri. Tentang persamaan mazhab ini, ada juga yang mengusulkan yang Islam dibawa dari pantai Malabar (Coromandel), sebab kawasan ini menganut mazhab Shafie. Teori dari Malabar ini diperkukuhkan dengan peranan 'Fakir Muhammad' yang berasal dari sana (Malabar) dan mengislamkan Merah Silu (Malikus-Salleh) di Pasai. Tetapi hujah ini ditolak oleh Hamka, sebab katanya, Malabar atau Mu'tabar yang bermakna 'tempat persinggahan' itu hanyalah menjadi tempat persinggahan Syeikh Ismail yang diutus oleh Sharif Makkah untuk mengislamkan Merah Silu. Di Malabar inilah dia disertai oleh Fakir Muhammad, bekas seorang raja (Sultan Muhammad) keturunan Abu Bakar Al-Siddiq, bukannya orang Malabar jati.

Kesimpulan
1. Sarjana-sarjana tidak sependapat tentang dari kawasan manakah di India tersebut sebagai tempat asalnya Islam di rantau ini.

2. Kebanyakan hujah-hujah untuk menegakkan teori ini hanya mengemukakan abad ke-13 M sebagai tarikh bermulanya Islam di Nusantara, walhalnya proses Islamisasi di sini sudah pun berjalan sejak abad pertama Hijrah lagi.

(ii) Teori dari China/Indochina

Selain dari teori melalui India tersebut, Islam juga dikatakan datang ke Nusantara melalui China atau Indochina. Sebagai hujahnya, Syed Naguib Al-Attas menyebut tentang pemberontakan di Canton pada tahun 877 M yang mengorbankan kira-kira 120,000 hingga 200,000 pedagang-pedagang yang kebanyakannya beragama Islam (Arab dan Parsi). Yang lain-lainnya terpaksa menyelamatkan dirinya dengan berhijrah ke Kalah (Kedah), yang kemudiannya mengambilalih peranan Canton sebagai pelabuhan utama bagi pedagang-pedagang Arab. Ujar Syed Naguib: This event seems to have marked the beginning of the coming of Islam in the Archipelago, yakin peristiwa ini menandakan permulaan kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu.

Di kalangan pendukung-pendukung teori ini, nampaknya S.Q. Fatimilah yang lebih nyaring suaranya. Dalam hujahnya, beliau menyebut tentang kewujudan kerajaan Bani Champa (1000-1471) yang dianggapnya didirikan oleh pelarian-pelarian Syiah Alawiyah dari Damshik. Tetapi akibat serangan kerajaan Annam, orang-orang Islam Alawiyah ini lalu berpindah ke Makkah dan Acheh. Hujah lain ialah tentang Batu Bersurat di Terengganu yang bertarikh 1386 (sebenarnya bertarikh 1303 M) yang disamakannya dengan batu nisan di Champa Selatan. Selain dari Fatimi juga cuba membandingkan batu nisan Fatimah binti Maimon (1082 di Leran, Jawa Timur dengan batu-batu nisan di Phan-rang, Champa Selatan. (1039 dan 1035).

Kesamaan seperti ini bagi Fatimi membuktikan yang Islam di Nusantara datang melalui Champa Selatan (Indochina). Menurut Dr. Abdul Jalil Hj. Hassan, dalam catatan sejarah Chau-Ju-Kua (1225 M) terdapat negeri Islam yang disebut sebagai 'Fo-lo-an'. Bagi Paul Wheatley, besar kemungkinan Fo-lo-an ini ialah Kuala Brang di Terengganu yang menjalankan perniagaan dengan orang Arab di samping Srivijaya. Dengan terjumpanya Batu Bersurat (1303 M) di Kuala Brang tersebut, nyatalah betapa pentingnya peranan Terengganu sebagai kawasan pengaruh Islam ketika itu. Dan ini juga menunjukkan yang Islam datang melalui Pantai Timur, yang bererti ianya datang melalui China atau Indochina.

Baru-baru ini pula ditemui Batu Bersurat di Teluk Cik Munah, Pahang yang tarikhnya dikatakan 419 H, iaitu lebih awal dari Batu Bersurat di Terengganu yang bertarikh 702 H (1303 M) itu. Bukti terbaru ini dapat juga menunjukkan ba- hawa kemungkinan Islam masuk melalui Pantai Timur, yang tentunya bererti dari China atau Indochina.

(iii) Teori dari Arab/Parsi

Jika tadinya dikatakan Islam di Nusantara datang melalui India atau China, kini timbul kecenderungan baru yang mengatakan bahawa ianya dibawa terus dari Tanah Arab atau Parsi. Sebenarnya hujah-hujah untuk menguatkan teori ini tidaklah sukar dicari, memadai dengan meninjau kegiatan pedagang-pedagang Arab di kawasan Asia Tenggara sejak zaman Jahiliah lagi. Seperti kata Wang Gungwu dan C.A. Majul, sejak pedagang-pedagang Arab memonopoli kegiatan-kegiatan perdagangan dari India dan Mesir, mereka mula menguasai perdagangan 'Nanhai' (Asia Tenggara). Ertinya sehingga abad ke-9 M, merekalah yang menguasai kegiatan perdagangan laut antara Mesir, India, Asia Tenggara dan China, serta mendirikan penempatan-penempatan di kawasan-kawasan pantai Nusantara. Semuanya ini berlaku sejak zaman Jahiliah, dan terus berlaku sepanjang abad pertama Hijrah lagi.

Dengan mengkaji proses Islamisasi di Nusantara di peringkat awal tersebut, kita sudah dapat membuat kesimpulan bahawa orang-orang Arab-lah yang sebenarnya merintis jalan. meskipun dengan agak pasif. Selepas itu baru diikuti oleh mubaligh-mubaligh India pada abad ke-13, seperti yang sudah dijelaskan. Bagaimanapun kita masih dapat mengemukakan hujah-hujah lain buat mengukuhkan teori ini, dan di antara sarjana-sarjana yang paling menonjol dalam teori ini ialah Syed Muhammad Al-Naguib Al-Attas dan Hamka.

Dengan menitik-beratkan alasan-alasannya dari sudut 'dalaman', iaitu dari segi bahasa dan kesusasteraan, Syed Naguib berpendapat:

1. Jika ditinjau kenyataan hasil kesusasteraan keagamaan yang telah merujuk kepada sumber-sumber tulisan lama Islam yang berkenaan dengan Kepulauan ini kita akan dapati bahawa tiada suatu pun laporan, rujukan atau sebutan yang merujuk kepada penulis atau kepada kitab yang berasal dari India atau digubah oleh orang India.

2. Mubaligh-mubaligh lama Islam di daerah ini pun terdiri dari orang-orang Arab atau Arab/Parsi, seperti yang ternyata pada gaya nama dan gelaran mereka masing-masing.

3. Kandungan faham keagamaan yang dibawa oleh mereka adalah bersifat Timur Tengah, bukan India. Misalnya kedudukan dan cara penghuraian akidah-akidah pelbagai mazhab Ilmu Tasawuf, peribentuk tulisan Jawi dan corak beberapa huruf-hurufnya, nama gelaran bagi hari-hari mingguan, cara melafazkan Al-Quran dan lain-lainnya menyatakan ciri-ciri tegas bangsa Arab, bukan India, sebagai pembawa dan penyebar asli agama Islam di rantau ini.

Bagi Hamka pula, adalah menjadi kepercayaannya dengan pedagang turun-temurun dalam sejarah pada seluruh negeri-negeri Melayu, bahawasanya mereka menerima Islam dari Arab, atau dari salah seorang Syeikh atau seorang Waliullah dari Arab. Kepercayaan ini diperkuatkan oleh alasan-alasan berikut:

1. Pengislaman ke negeri-negeri Melayu adalah langsung dari sumbernya Makkah, iaitu dengan terutusnya Syeikh Ismail oleh Sharif Makkah yang singgah di Malabar untuk mengambil 'Fakir Muhammad' (keturunan Abu Bakar Al-Siddiq) menyertainya ke Nusantara untuk mengislamkan Merah Silu.

2. Pengislaman Parameswara dilakukan oleh Sayyid Abdul Aziz yang datang dari Jeddah.

3. Pengislaman di Acheh dirintis oleh Syeikh Abdullah Arif yang datang dari Tanah Arab bersama muridnya Burhanuddin.

4. Maulana Malik Ibrahim (salah seorang Wali Songo) yang turut mempelopori penyiaran Islam di Jawa adalah keturunan Ali Zainal Abidin, cucu Sayidina Ali bin Abi Talib.

5. Susan Gunung Jati atau Sharif Hidayatullah salah seorang Wali Songo yang turut mengembangkan Islam di Jawa juga dikatakan keturunan bangsawan Quraisy.

6. Pengislaman Raja Kedah seperti tersebut dalam Hikayat Merong Mahawangsa dilakukan oleh Syeikh Abdullah Yamani, seorang ulama Arab.

7. Raja-Raja Maluku (Tidore, Bachan, Ternate dan Jailolo) dikatakan keturunan empat saudara, putera Imam Jaafar Al-Sadiq, keturunan Rasulullah.

8. Pengislaman di Sukadana, Kalimantan dilakukan oleh Syeikh Shamsuddin dari Makkah.

9. Pengislaman Raja Tidore iaitu Chireli Lijatu dilakukan oleh Syeikh Mansor dari Tanah Arab, yang lalu menukar namanya menjadi Sultan Jamaluddin.

10. Sampai kini Raja-Raja Brunei menganggap bahawa nenek-moyang mereka adalah bangsa Arab, keturunan Nabi.

11. Kemasukan Islam ke Mindanao dimulai oleh keturunan-keturunan Sharif dari Makkah, seperti Sharif Kebungsuan yang datang dari Johor

12. Pengislaman di Pulau Sulu diusahakan oleh Sayyid Abdul Aziz yang mengislamkan Parameswara dulu, dan juga Abu Bakar, seorang penyair Arab.

13. Raja-raja lain juga ada yang berasal dari orang-orang Arab, seperti Sultan Badrul-Alam (1699-1702) dan penggantinya Sultan Perkasa Alam di Acheh, hulubalang-hulubalang di Acheh sehingga 1946, Sultan-Sultan Siak Seri Inderapura, Sultan di Pontianak dan Raja-Raja Perlis.

14. Tersangat dalamnya pengaruh mazhab Shafie di negeri-negeri Melayu membuktikan bahawa mubaligh utama ialah orang-orang Arab. Sezaman dengan tegaknya kerajaan Samudera-Pasai ialah kerajaan Mameluk di Mesir yang menganut mazhab Shafie. Adalah jelas bahawa nama-nama Sultan seperti Malikus-Salleh dan Malikuz-Zahir adalah diambil (dipengaruhi) dari nama-nama gelaran Sultan-sultan Mameluk tersebut.Di istana Sultan Malikuz-Zahir di Pasai terdapat Sayyid Al-Shirazi, seorang ulama mazhab Shafie dari Parsi yang dilantik sebagai Kadi Besar Pasai.

Demikianlah antara lain hujah-hujah tentang kedatangan Islam dari Arab. Sebenarnya dari segi pandangan Islam, soal siapa atau bangsa apa yang membawa Islam itu mungkin tidak begitu penting, asalkan apa yang dibawanya itu ialah Islam. Tetapi dari segi pandangan sejarah, kata Syed Naguib Al-Attas, sangatlah penting bagi para ahlinya mengemukakan butir-butir faktanya dengan tepat dan benar, sebab kesimpulan-kesimpulan yang akan dirumuskan dari butir-butir fakta itu akan mempengaruhi corak perumusan teori pensejarahan.

Sebagai kesimpulannya, kita petik rumusan-rumusan dari 'Seminar Sejarah Masuknya Islam ke Indonesia' yang diadakan di Medan pada 17-20 Mac 1963.

1. Bahawa menurut sumber-sumber yang kita ketahui, Islam untuk pertama kalinya telah masuk ke Indonesia pada abad pertama Hijrah dan langsung dari Arab.

2. Bahawa daerah yang pertama didatangi oleh Islam ialah pesisir Sumatera; dan bahawa setelah terbentuknya masyarakat Islam, maka Raja Islam yang pertama berada di Acheh.

3. Bahawa dalam proses pengislaman selanjutnya orang-orang Indonesia ikut aktif mengambil bahagian.

4. Bahawa mubaligh-mubaligh Islam yang pertama-tama itu selain sebagai penyair Islam adalah juga sebagai saudagar.

5. Bahawa penyiaran Islam itu di Indonesia dilakukan secara damai.

6. Bahawa kedatangan Islam ke Indonesia itu membawa kecerdasan dan peradaban yang tinggi dalam membentuk keperibadian bangsa Indonesia. (Abdul Rahman Haji Abdullah (1984). Sejarah Dan Pemikiran Islam. Selangor : Penerbitan Pena Sdn. Bhd.)

2.2 Faktor-Faktor Perkembangan Islam

Beberapa cara pendekatan telah digunakan oleh penulis-penulis dalam pengkajian mereka tentang sebab-musabab perkembangan Islam di Nusantara. Ada yang melihat dari sudut politik, ekonomi, sosial dan sebagainya, di samping ada yang menekankan faktor-faktor perdagangan, ahli sufi, perkahwinan dan lain-lainnya. Tanpa menolak cara-cara pendekatan seperti itu, pendekatan yang akan dipakai di sini adalah berasaskan Metodologi Dakwah Islamiah yang mengandungi empat aspek besar:

1. Isi kandungan ajaran Islam.
2. Hikmah atau cara penyampaian.
3. Pendakwah.
4. Masyarakat.

i) Isi Kandungan Ajaran Islam

Faktor ini merupakan sebab utama penyebaran Islam di Nusantara. Ajaran Islam yang mudah difahami dan mudah pula diamalkan menjadikan ianya cepat merebak. Pokok ajaran Islam terletak kepada konsep Tauhidnya yang murni, tidak berbelit-belit atau bersimpang-siur seperti agama-agama lain. Dan dari segi sosialnya, Islam tidak membezakan seseorang individu dengan individu lain. Ketika memperkatakan sebab-sebab perkembangan Islam di Nusantara. Willem Wertheim mengatakan:

Islam juga mudah diterima kerana terdapat semacam kesejajaran dalam setengah nilai-nilai tempatan. Inilah yang disebut sebagai faktor autoktoni, iaitu keadaan di mana sesuatu itu dianggap telah sedia ada, sejak purbakala, sebagai kepunyaan atau sifat kebudayaan sesuatu masyarakat. Misalnya penerimaan Ilmu Tasawuf Islam oleh orang-orang Melayu adalah sedikit banyaknya kerana latar belakang kebudayaannya telah menyediakan dirinya untuk menerima bentuk-bentuk ajaran sedemikian. Memangnya faham tasawuf Islam jauh bercanggah dengan faham mistik Melayu, tetapi ianya telah cuba dikurangi (meskipun tidak kesemuanya berjaya) dengan usaha-usaha penyesuaian diri dengan faham tasawuf Islam.

ii) Metode atau hikmah dalam penyampaian.

Yang dimaksudkan dengan metode di sini ialah cara-cara yang dipakai dalam proses menyeru ke arah memeluk serta menghayati Islam. Terkandung dalam pengertian ini ialah usaha-usaha secara lisan atau tulisan, secara audio (alat pendengaran) atau audio-visual (alat pandang dengar). Bagaimanapun kesemua cara-cara tersebut harus berpusat kepada ketentuan-ketentuan Al-Quran sendiri yang menuntut ianya dilakukan dengan penuh bijaksana, dengan pengajaran dan diskusi yang baik (Al-Nahl: 125, Al-Ankabut: 46).

Terjemahan: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk. (Surah al Nahl:125).

Terjemahan: Dan janganlah kamu berbahas Dengan ahli Kitab melainkan Dengan cara Yang lebih baik, kecuali orang-orang Yang berlaku zalim di antara mereka; dan Katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) Yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) Yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, Kami patuh Dengan berserah diri." (Surah al Ankabut:46).

Ketentuan asasi inilah yang rupanya sangat diperhatikan oleh para-para mujahid dakwah dulu, hingga telah terhasil membawa Islam dengan segala kebijaksanaan, kemahiran dan ketrampilan.

Agar mudah mendekati penduduk-penduduk Nusantara, pendakwah-pendakwah terpaksalah berbicara dalam bahasa yang mudah difahami serta luas pula penggunaannya. Sebelum kedatangan Islam, memang terdapat bahasa Jawa Kuno (Kawi) di Jawa dan bahasa Melayu Kuno tulisan Palava di Srivijaya, Sumatera, tetapi penggunaannya terhad di daerah-daerah tersebut sahaja. Dan yang menjadi masalah besar pula ialah pada bahasa Jawa itu sendiri yang sudah dicemari oleh konsep-konsep Hindu-Buddha yang jika digunakan juga sudah tentu dapat mengabur atau mengelirukan konsep-konsep Islam.

Berasaskan istilah-istilah yang sedia ada, oleh mubaligh-mubaligh tersebut 'diciptalah' suatu bahasa lingua franca yang dinamakannya Bahasa Melayu dengan memasukkan istilah-istilah Islam ke dalamnya. Dan yang pentingnya dalam 'penciptaan' bahasa ini ialah penggunaan tulisan 'Jawi' yang berasaskan abjad Arab-Parsi. Ertinya konsep bahasa dan sastera (tulisan) Melayu baru wujud sejak kedatangan Islam ke Nusantara.

Di samping masalah bahasa Jawa yang sudah tercemar itu, pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca juga dibuat atas dasar persamaan sifatnya dengan bahasa Arab sendiri. Dari sudut linguistiks, bahasa Arab dan bahasa Melayu adalah sama-sama bahasa 'oligosintesis' di mana "semua atau hampir semua perbendaharaan kata boleh dibuat dari akar-akar kata yang sedikit jumlahnya". Ambil saja akar kata Arab 'ilm' dan akar kata Melayu 'ajar' yang banyak sekali pecahannya. Seperti ta'allama (belajar), 'allama (mengajarkan), ista'lama (mempelajari), 'aliim (berpelajaran), a'alam (berpengajaran), 'allaamah (terpelajar), mu'allim (pengajar), muta'allim (pelajar), 'ilm (ajaran), ta'liim (pengajaran),

Jika dibuat perbandingan, pecahan teach (ajar) dalam bahasa Inggeris tidak banyak jumlahnya, cuma ada empat (4) derivasi: teacher, teaching, teachable dan teachability. Ini bermakna bahasa Inggeris bukannya bahasa oligosintesis.

Dengan terciptanya bahasa Melayu dengan tulisan Jawi (abjad Arab) tersebut. barulah muncul apa yang dinamakan kesusasteraan Melayu. Sebelum abad ke-15, tidak terdapat bukti-bukti adanya bahasa dan sastera Melayu. Bukti-bukti yang ada hanya terdapat pada catatan batu-batu bersurat yang tertulis dalam abjad Sanskrit. Walaupun Prof. M.A. Jaspan cuba mengesannya dari abjad Rejang Ka-ga-nga di Sumatera Selatan. tetapi itu hanya percubaan untuk menulis sastera Melayu sebelum Islam. Sastera 'Melayu' yang wujud sebelum abad ke-15 hanyalah bercorak lisan. Dan kalaupun ada sastera tulisan. ianya tertulis dalam bahasa Jawa. Tetapi dengan kedatangan Islam yang membawa tulisan Jawi, barulah ada sastera tulisan, hingga sastera (lisan) yang berasal dari zaman Hindu dulu barulah dituliskan di zaman Islam dengan tulisan Jawi.

Melalui bahasa Melayu itu, timbullah ulama-ulama yang giat berdakwah melalui tulisan. Maka terkenallah nama-nama seperti Hamzah Al-Fansuri, Nuruddin Al-Raniri, Bukhari, Al-Jauhari, Shamsuddin Al-Sumatrani, Abdul Rauf Singkel dan lain-lain. Melalui karya-karya merekalah agama Islam dapat tersiar dengan lebih meluas dan pesat. Semuanya dengan menggunakan bahasa Melayu, iaitu bahasa Islam di rantau ini. Khusus di Tanah Jawa, penyiaran Islam tidak dapat dilankan melalui bahasa Melayu tersebut. Ini kerana Jawa menyaksikan suatu tingkat kemajuan yang tersendiri, hingga wujud semacam kebanggaan terhadap keagungannya. Dari sinilah timbulnya konsep 'Nusantara' yang bererti 'pulau-pulau lain sebagaimana ditinjau dari pulau Jawa atau Bali'. Dengan asas-asas kebanggaan seperti ini. tidak mungkin bahasa Melayu mendapat tempat di hati orang-orang Jawa. Maka untuk mendekati mereka, terpaksalah para-para mubaligh bertolak-ansur dengan sebahagian cara hidup mereka. Dengan itu lahirlah apa yang dinamakan 'wayang purwa' oleh mubaligh-mubaligh di Jawa yang lebih terkenal dengan gelaran 'Wali Songo'. Antara wali-wali sembilan yang sangat berjaya dalam penyiaran Islam secara pewayangan ini ialah Sunan Giri dan Sunan Bonang.

Penyesuaian bentuk-bentuk wayang tradisi Jawa dengan wayang Islam berlaku baik dalam bentuk mahupun isinya. Dari segi bentuknya, anggota badan pelaku-pelakunya tidak lagi menyerupai bentuk manusia normal, sebaliknya jauh dari sifat-sifat manusia biasa, dan masing-masing tokoh pula dijadikan gambar berasingan. Dan dari segi isinya, sungguhpun ianya berasal dari kitab-kitab Hindu dan Jawa, namun ianya disesuaikan dengan semangat Islam. Misalnya cerita-cerita Pandawa Lima merupakan simbol Rukun Islam yang lima, atau Lima Waktu Solat.

Demikianlah, melalui cara-cara seperti ini mudahlah Islam dapat tersiar hingga dengan itu berjaya menggulingkan agama-agama Hindu-Buddha sebelumnya. Walau bagaimanapun, memanglah tidak dapat dinafikan bahawa agama Islam di Nusantara juga tersiar melalui kegiatan penaklukan. Ini tidaklah bermakna yang Islam sengaja disebarkan secara kekerasan. Sebenarnya penaklukan-penaklukan tersebut lebih bermotif politik atau ekonomi, sedang Islam hanya tersebar secara tidak langsung saja. Jadi penaklukan-penaklukan oleh kerajaan Melaka atau Acheh bukannya untuk menyebarkan Islam, tetapi implikasinya Islam lalu tersebar ke negeri-negeri taklukannya.

(iii) Pendakwah

Islam adalah agama dakwah yang menjadikan setiap orang pemeluknya sebagai anggota umat dakwah. Tugas berdakwah bukannya hak sesuatu pihak, tetapi merupakan kewajipan setiap Muslim sekadar kesanggupan atau pengetahuan yang dimilikinya (Al-Hujurat: 15).

Terjemahan: Sesungguhnya orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang Yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang Dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang Yang benar (pengakuan imannya). (Surah al Hujurat:15).

Bagaimanapun memang dituntut agar dibentuk sekumpulan orang yang khusus bertugas untuk berdakwah (Ali Imran: 104, Al-Taubah: 122) tanpa mengenepikan peranan pihak-pihak lain yang dapat bertugas secara 'sambilan', seumpama Imam Abu Hanifah yang di samping berniaga adalah juga begitu giat mengajar ilmu.

Terjemahan: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya. (Surah ali Imran:104).

Terjemahan: Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang Yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). (Surah al Taubah:122).

Dalam konteks penyebaran Islam di Nusantara, memang terdapat golongan-golongan pendakwah 'profesional' dan 'sambilan'. Adanya golongan yang profesional inilah yang menimbulkan teori mubaligh (missionary theory) sebagai salah satu faktor perkembangan Islam. Di antara mereka yang profesional itu terdapatlah nama-nama seperti Syeikh Ismail yang diutus khas oleh Sharif Makkah ke Samudera, Sayyid Abdul Aziz, seorang makhdum dari Jeddah yang mengislamkan Parameswara, Syeikh Abdullah Yamani, seorang ulama Makkah yang mengislamkan Raja Kedah dan sebagainya.

Sejajar dengan teori mubaligh tersebut ialah peranan ahli-ahli Sufi dalam penyebaran Islam di Nusantara. Nampaknya di kalangan tokoh-tokoh Sufi itu, yang paling terkenal sekali ialah 'Wali Songo' yang dikatakan sangat berjasa di Jawa itu. Di samping terkenal sebagai tokoh tasawuf, wali-wali sembilan itu juga merupakan tokoh-tokoh politik. Pernah dikatakan bahawa perlantikan Raden Patah sebagai raja pertama kerajaan Demak adalah dibuat oleh mereka. Sebab itu dalam konteks zaman Demak, istilah 'wali' ini lebih tepat diertikan sebagai "orang yang diberi kuasa mengurus negara", oleh kerana selain dari mengurus soal-soal keagamaan, mereka juga mengatur urusan-urusan pemerintahan. Di samping golongan pendakwah 'sepenuh masa' tersebut, terdapatlah para-para pedagang yang juga berperanan sebagai pendakwah. Adanya golongan ini yang turut menyebar-luaskan Islam inilah yang melahirkan teori perdagangan (trade theory) sebagai salah satu faktor perkembangan Islam.

Menurut Tom Pires: Some of them (merchants were Chinese, some Arabs, Parsees, Gujaratees, Bengalees and of many other nationalists, and they flourished so greatly that Mohamed and his followers determined to introduce their doctrines in the sea-coast of Java (together) with the merchandise.

Adanya hubungan perdagangan yang erat antara Jawa dengan Melaka turut menolong dalam penyebaran Islam di Jawa, sebab pedagang-pedagang Jawa yang berdagang di Melaka itu setelah kembali lalu menyiarkan Islam di negerinya pula. Pentingnya hubungan inilah yang menimbulkan semacam anggapan bahawa "tanah Jawa diislamkan oleh Melaka".

Jika tadinya setiap orang Islam sudah terbeban oleh tugas berdakwah, hingga dengan itu merupakan umat dakwah, tetapi dengan berlakunya Perang Salib (1097-1292) pedagang-pedagang Islam semakin ghairah malah berlumba-lumba untuk menyiarkan Islam. Menurut teori Perang Salib (Crusader theory), konflik antara pedagang-pedagang Islam dengan Portugis yang menimbulkan semangat perlumbaan agama itu adalah lanjutan daripada Perang Salib tersebut.

iv) Masyarakat

Pendakwah yang baik ialah yang dapat memahami corak masyarakat yang dihadapinya. Sesungguhnya kejayaan besar dakwah Islamiah di Nusantara adalah disebabkan para-para pendakwah cukup mengerti hakikat ini. Mereka sedar bahawa konsep masyarakat feudal Melayu adalah sangat menjunjung tinggi golongan aristokrat sehingga apa saja yang diperintahnya akan segera dipatuhi tanpa banyak bicara. Apa lagi jika yang diperintahkan oleh raja itu memangnya suatu kebaikan, maka dengan rela hati mereka akan menurutinya. Demikianlah yang terjadi apabila raja-raja mereka sudah memeluk Islam setelah didatangi oleh pendakwah-pendakwah tersebut, maka rakyat pun berbondong-bondonglah mengikuti jejaknya. Inilah yang dikatakan oleh Prof. M.A. Rauf:

The conversion of royalty was the beginning of the conversion of the Malay world.

Selain dari itu, faktor perkahwinan diraja juga sangat berkesan dalam menyebarluaskan Islam. Dengan perkahwinan Parameswara dengan puteri raja Pasai, atau perkahwinan puteri-puteri raja Melaka sendiri dengan raja-raja di tanah jajahannya, semuanya ini turut membantu dalam penyiaran Islam hingga meliputi daerah-daerah yang lebih jauh. Sebagai suatu ikhtiar agar para-para pedagang terus menetap di dalam negerinya, mereka digalakkan berkahwin dengan puteri pembesar-pembesar tempatan. Ini adalah motif ekonomi oleh kerana kemakmuran sesebuah negeri itu banyak bergantung kepada faktor perdagangan luar, tetapi implikasinya sangat penting dari segi perkembangan Islam. Demikian kita melihat beberapa faktor yang saling bantu-membantu dalam penyebaran Islam di rantau ini. Walau bagaimanapun suatu hakikat yang seharusnya tidak dilupakan ialah betapa faktor HIDAYAH itulah yang menentukan segala-galanya. Walau apapun sebab-sebab yang dikemukakan tentang perkembangan Islam di rantau ini atau di mana-mana saja, namun Allah s.w.t. sajalah faktor pertama yang menjadikan sesuatu itu adanya. (Abdul Rahman Haji Abdullah (1984). Sejarah Dan Pemikiran Islam. Selangor : Penerbitan Pena Sdn. Bhd.)

2.3 Pengaruh Islam Di Alam Melayu

ZAMAN HINDU-BUDDHA DI ASIA TENGGARA

Menjelang kedatangan Islam ke Asia Tenggara, masyarakat tempatan sedikit banyaknya telah dicorakkan oleh pengaruh-pengaruh India. Dari segi amalannya, nampaknya cuma golongan bangsawan sajalah yang menganuti agama Hindu dengan bersungguh-sungguh. Itu pun dengan hanya mementingkan aspek-aspek upacara dan ajaran-ajaran yang membesar-besarkan keagungan dewa-dewa demi kepentingan mereka sendiri, dengan dakwaan bahawa merekalah penjelmaan dewa-dewa tersebut. Ada pun terhadap masyarakat umumnya, mereka lebih asyik kepada sifat kesenian daripada sifat falsafah, sejajar dengan bawaan asli mereka sendiri. Dan jika ada apa yang dinamakan kesusasteraan, tumpuannya cuma sekitar gelanggang kraton dan istana, dengan gambaran penjelmaan dewa-dewa pada raja dan kebijaksanaan pendita-pendita. Peranan karya-karya tersebut tidaklah untuk menerangi akal dan budi, melainkan untuk menawan rasa dan jiwa rakyat agar terus terpesona oleh kehebatannya.

Tentang agama Buddha, sungguhpun pengaruhnya sudah wujud sejak abad ke-6, namun kesannya tidak seberapa, kecuali di bidang kesenian juga seperti terjelma pada candi Borobodur itu. Kalaupun pernah dikatakan adanya 1,000 orang rahib Buddha di Sumatera, namun mereka kelihatannya tiada berminat untuk menyebarkan ajaran-ajarannya di situ. Lagipun kebanyakan mereka adalah orang-orang luar belaka yang datang ke situ untuk belajar, dan kemudiannya menyebarkannya di negeri sendiri, seumpama Atisha yang nantinya termasyhur sebagai tokoh Buddha di Tibet.

Keterbatasan pengaruhnya bukan sahaja kerana faktor 'dalam diri' agama-agama tersebut, bahkan juga dibataskan oleh faktor bahasa. Seperti yang dijelaskan sebelumnya, sebelum kedatangan Islam, bahasa yang dipakai di Jawa ialah bahasa Jawa Kuno (Kawi), dan di Sumatera ialah bahasa Melayu Kuno tulisan Palava (Hindu Kuno). Tidak ada apa yang dinamakan bahasa lingua franca yang dapat mendekatkan agama-agama tersebut dengan rakyat jelata umumnya. Demikianlah suasananya menjelang kedatangan Islam ke Nusantara. Kelihatannya proses Indianisasi yang berabad-abad lamanya itu semacam tidak membawa apa-apa perubahan yang bererti, khasnya di bidang pemikiran falsafah. Apa yang ada ialah sekadar mengekal dan mengukuhkan lagi bawaan asli rakyat tempatan yang mementingkan kesenian, metos dan pelbagai bentuk kehidupan di alam fantasi. Pandangan dan cara hidup mereka yang lama semacam tidak tersentuh langsung dengan kedatangan pengaruh India tersebut, hinggalah berlakunya proses Islamisasi yang nantinya akan merubah secara radikal bawaan lama tersebut.

MUNCULNYA ZAMAN BAKU DI ASIA TENGGARA

Sebab-sebab timbulnya Zaman Pertengahan di Eropah harus dirujuk pada sejarah kebangkitan Islam di Asia Barat. Seperti yang ditegaskan oleh Henri Pirenne, Islam bukan saja memusnahkan perpaduan kebudayaan (Barat) di sekitar Laut Meditteranean, bahkan juga memindahkan paksi kehidupan mereka jauh ke utara. Dengan berlakunya dua perubahan penting inilah baru bermulanya Zaman Pertengahan di Eropah. Kita juga telah menegaskan bahawa kehancuran Zaman Pertengahan dan timbulnya Zaman Renaissance sebagai asas Zaman Moden di Eropah itu adalah juga akibat perhubungan mereka dengan tamadun Islam baik di Timur (Baghdad) mahupun di Barat (Sepanyol).

Pandangan yang sama harus juga dikenakan terhadap peranan Islam dalam membentuk peradaban baru di Nusantara, sebagaimana kesannya terhadap kemunduran dan kebangkitan Eropah. Besar tidaknya pengaruh Islam di Asia Tenggara harus dinilai berdasarkan perubahan-perubahan yang timbul sesudah berlakunya proses Islamisasi. Perubahan-perubahan tersebut dapat dikaji dari dua segi: dalaman dan luaran.

Dari segi dalamannya, kedatangan Islam telah merubah pandangan hidup (world-view) atau Weltanschauung orang-orang Melayu. Jika dulunya mereka lebih asyik di bidang-bidang kesenian, metos dan khayal, maka kini timbullah pandangan yang mementingkan unsur-unsur rasionalisme dan intelektualisme. Seperti kata Prof. Syed Naguib Al-Attas, para penyebar Agama Islam mendakyahkan kepercayaan ketuhanan yang Tunggal, yang kudrat-Nya terhukum pada hikmat-Nya; yang iradat-Nya berjalan selaras dengan Akal. Insan diciptakan sebagai hasil tertinggi ciptaan raya, bahawa pada gelang kehidupan semesta insanlah yang umpama khatim permata jauharnya. Sifat asasi insan itu ialah akalnya, dan unsur akiiah inilah yang menjadi perhubungan antara dia dan hakikat semesta. Jika dulunya mereka asyik menggemari bermenungan, berpoya-poya, dongengan khayal, kini mereka giat menganjurkan penulisan dan penafsiran ilmu-ilmu sejarah dan tasawuf serta falsafah Islam, justeru kerana tugas penghargaan dan penilaian sastera kini tiada lagi terletak dalam genggaman mereka, akan tetapi dipengaruhi oleh penulis-penulis intelektual dan penterjemah-penterjemah handal yang menghasilkan karya-karya ini bukan lagi suatu golongan kecil tertentu, malah sesungguhnya bagi keperluan meninggikan adab dan susila serta kesedaran ramai terhadap kemuliaan insan dan keagungan Tuhan menerusi Islam. Demikian menurut pandangan Prof. Syed Naguib Al-Attas.

Selain dari isi kandungan faham agama yang bersifat intelektual itu, bersamanya datang juga istilah-istilah Arab ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu yang sekian lama cuma asyik mendendangkan irama metos. Tidaklah perlu dijelaskan lagi betapa mendalamnya pengaruh perkataan-perkataan seperti akal, fikir, dakwat, qalam, hikmat, kertas dan sebagainya terhadap kebangkitan semangat nasionalisme dan intelektualisme manusia Melayu. Kebanjiran istilah-istilah Arab yang menggugah daya fikir seperti inilah yang turut merubah world-view orang-orang Melayu yang sekian lama terpeluk di bawah ribaan seni yang anti akliah.

Semuanya itu merupakan kesan dalaman belaka. Ada pun dari segi luarannya, pertama sekali Islam telah membawa bersamanya bahasa lingua franca di Kepulauan Melayu, iaitu bahasa Melayu sendiri. Jika dulunya tidak ada apa yang dapat dinamakan sebagai bahasa internasional, maka kini dengan berasaskan tulisan huruf Arab (Jawi), terciptalah bahasa yang mampu menjadi alat perhubungan bagi bangsa-bangsa di daerah ini. Dan seiiring dengan kemunculan bahasa Melayu tersebut maka bermulalah perkembangan sastera tulisan, sedangkan sebelumnya cuma terdapat sastera lisan sahaja. Kalaupun ada sastera tulisan sebelumnya, itu bukannya sastera Melayu, tetapi sastera Jawa. Dan sastera Jawa bukannya sastera Melayu, oleh kerana ia tegak dengan keperibadiannya sendiri.

Kedatangan Islam bukan hanya bermakna kedatangan suatu agama dan suatu bahasa, bahkan dari segi sosialnya, terbentuk pula suatu konsep bangsa yang dinamakan bangsa Melayu. Jika dulunya cuma terdapat suku-suku kaum yang tegak dengan identitinya sendiri, maka dengan kedatangan Islam, barulah muncul konsep bangsa Melayu dengan Islam sebagai teras keperibadiannya. Ertinya konsep kebangsaan Melayu hanya wujud sejak kedatangan Islam ke Nusantara. Sebab itu kata Dr. Deliar Noer, konsep bangsa Melayu akan terus kekal selagi Islam tidak dipisahkan, tetapi bila mana Islam dipisahkan daripadanya, akan hilanglah bangsa Melayu itu sendiri!

Tidak setakat itu sahaja, Islam dengan faham kesamarataannya yang tersendiri telah merubah secara radikal sistem kelas yang selama ini menjadi anutan masyarakat Nusantara. Seperti kata W. Wertheim, Islam telah memperkenalkan konsep sama rata atau unsur demokrasi sebagai ganti sistem kasta Hindu yang membahagikan penduduk Nusantara kepada beberapa susun lapis seperti di India. Menurutnya Islam juga telah menghapuskan semangat kedaerahan dan membentuk perpaduan di kalangan penduduk Alam Melayu melalui konsep Ummah atau masyarakat Islam, dan ini dicapai melalui perlakuan ibadat. seperti haji misalnya. Wertheim nampaknya telah menyamakan peranan Islam di Alam Melayu dengan zaman permulaan Islam di Tanah Arab, kerana Islam telah menghapuskan semangat kesukuan orang-orang Arab dan mewujudkan masyarakat universal.

Selain dari segi sosialnya, Islam juga telah membawa perubahan yang besar terhadap sistem politik Nusantara. Yang nyata sekali ialah tertubuhnya kerajaan-kerajaan Melayu-Islam seperti di Pasai, Acheh, Demak dan sebagainya. Memang benar bahawa sebelum terdirinya kerajaan-kerajaan ini, berlaku proses Islamisasi selama berabad-abad, yakni kedatangan Islam tidaklah terus secara langsung mendirikan suatu kerajaan. Sejak adanya bukti awal kedatangan Islam hingga berdirinya suatu kerajaan Islam dengan raja yang Islam pula, ianya melintasi jangka masa yang panjang, bahkan amat panjang. Ini kerana di Nusantara sudahpun berdiri kerajaan-kerajaan Hindu-Buddha yang hidup semenjak beratus-ratus tahun sebelumnya. Sebab itu dalam berjuang di tengah-tengah sesuatu kekuasaan, tentulah memerlukan kesabaran dan mengharungi proses yang panjang sekali. Ini pun dapat menjadi bukti pula bahawa penyebaran Islam di Nusantara berlaku secara lemah-lembut dan penuh hikmah.

Islam tidak sahaja membawa kerajaan, bahkan berjaya pula meninggalkan kesan-kesan di dalam sistem perundangan Melayu, sungguhpun pada setengah-setengah tempat kita masih dapat mempersoalkannya. Dalam Hukum Kanun sendiri tercatat firman Allah yag menuntut agar orang-orang Mukmin mentaati Allah dan Rasul-Nya, serta pemimpin-pemimpin di antara kaum (Al-Nisa: 59).

Terjemahan: Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah al Nisa’:59).

Sedang dalam Sulalatus-Salatin (Sejarah Melayu) diceritakan bahawa di saat-saat akhir Sultan Mansur Shah, diingatkannya puteranya sepotong hadis bahawa "setiap orang adalah pemimpin, dan mereka bertanggungjawab di atas pimpinannya". Nukilan dari Nas-Nas ini menuntut agar rakyat taat setia kepada pemerintahannya, sedang pemerintah pula mestilah bertanggungjawab di atas rakyat pimpinannya.

Sungguhpun dari segi praktiknya tindakan raja-raja lebih banyak berdasarkan budi bicaranya sendiri, dan rakyat pula kurang menghormati ketentuan-ketentuan Islam tersebut, namun kesanggupannya untuk mencatat atau memaktubkan ketentuan-ketentuan seperti itu sudah menunjukkan wujudnya pengaruh Islam terhadap sistem perundangan Melayu. Beberapa aspek daripada hukum-hukum Islam tersebut sudah kita bicarakan sebelumnya.

Dari segi ekonominya pula, kedatangan Islam ternyata sekali membawa revolusi besar. Jika sebelumnya Henri Pirenne mengatakan bahawa dengan kedatangan Islam mengakibatkan perpaduan Laut Tengah itu hancur lebur di Eropah, hingga menjadikan punca atau paksi kehidupan kebudayaan Eropah lalu beralih ke Utara, demikian jugalah kita lihat dengan kedatangan Islam ke Nusantara ini perpaduan Lautan India yang mempengaruhi kehidupan daerah ini, baik di bidang kebudayaan mahupun perdagangan, telah juga hancur lebur. Sebelum kedatangan Islam perdagangan daerah ini terbatas dalam sekitar Lautan India; punca kehidupannya berkisar dalam gelanggang kebudayaan India, dan tiada terlintas baginya saujana alam internasional dewasa itu.

Jelasnya dengan kedatangan Islamlah maka kegiatan-kegiatan perdagangan meluas sehingga tidak lagi terbatas di Lautan India, bahkan sampai menjangkau Laut Merah, ke Laut Parsi, ke Laut Meditteranean, dan seterusnya ke pelabuhan-pelabuhan Eropah. Dengan ini kita lihat bahawa dengan kedatangan Islam, punca atau paksi kehidupan dan kebudayaan masyarakat Kepulauan Melayu telah beralih dari India ke Timur Tengah, sama seperti pemindahan paksi kehidupan orang-orang Eropah dari Laut Meditteranean ke Utara.

Semua perubahan-perubahan yang berlaku ini menyebabkan timbulnya suatu Zaman Baru; suatu zaman yang tidak sahaja baru dari segi pandangan hidupnya, bahkan sekaligus pada cara hidupnya juga. Ertinya kedatangan Islam telah membawa revolusi besar bukan sahaja dari segi luarannya bahkan segi dalamannya sekali.

Bagaimanapun dengan kedatangan imperialisme Barat, proses pengislaman yang sekian lama berjalan lancar itu menjadi terbantut. Mereka bukan sahaja cuba menghidupkan tradisi feudal, bahkan telah mengabaikan kepentingan dan peranan Islam di Kepulauan Melayu. Maka hasilnya dapat kita saksikan kini dengan hidupnya kembali nilai-nilai feudal dan istana, serta adat istiadat lama dan sebagainya.

Tetapi dari segi lain pula, kedatangan Barat dapat juga dianggap sebagai meneruskan proses Islamisasi juga. Jika orang-orang Barat didakwa sebagai bertanggungjawab memperkenalkan semangat rasionalisme, individualisme dan internasionalisme, maka itu tidak lain daripada cita-cita Islam juga. Jika kita mempelajari punca-punca semangat ini dalam sejarah kebangkitan Barat, semuanya itu adalah berasaskan tamadun Islam sendiri. Dan ini berkait rapat dengan penentangan mereka terhadap sistem feudal dan penguasaan Gereja di Zaman Pertengahan. Ertinya dalam sejarah Barat, agama (Kristian) menghalang cita-cita intelektualisme, sedang dalam sejarah Islam, agamalah yang mendorong malah mewajibkannya. Sebab itu jika dinilai peranan Barat dalam menggalakkan cita-cita intelektualisme di Nusantara, maka itu tidak lain merupakan penerusan kepada proses Islamisasi belaka. (Abdul Rahman Haji Abdullah (1984). Sejarah Dan Pemikiran Islam. Selangor : Penerbitan Pena Sdn. Bhd.)

Sumbangan Islam Kepada Tamadun Melayu

Sebelum kedatangan Islam penduduk di Nusantara pada umumnya menganut agama Hindu. Walaupun begitu, masyarakat Melayu pada ketika itu sudah mempunyai kebudayaan mereka yang tersendiri, kemudian mereka dipengiruhi oleh kebudayaan Hindu dalam beberapa hal. Selepas abad kedua belas pengaruh Islam pun mulai berkembang dengan pesatnya. Dengan kedatangan Islam, maka beberapa sumbangan dan pembaharuan telah dibawa oleh Islam demi untuk memperkayakan lagi kebudayaan Melayu.

Ahli-ahli kebudayaan berpendapat bahawa agama Islam tidak memberi perubahan dalam struktur ekonomi orang Melayu. Misalnya sebelum kedatangan Islam orang Melayu menjalankan perdagangan dan pertanian, demikianlah halnya juga sesudah kedatangan Islam. Tegasnya, Islam tidak membawa bentuk yang baru daripada sistem perekonomian Islam. Walau bagaimanapun Islam telah memberi sumbangan dalam susunan perekonoman orang Melayu. misalnya sistem pengeluaran zakat dan fitrah merupakan sebagai satu cara mengambil harta orang yang berada untuk diberi kepada orang yang susah. Demikian juga sistem sedekah, kafarah, wakaf dan sistem Baitulmal yang merupakan satu fenomena baru dalam masyarakat Melayu dalam zaman Islam. Hal ini merupakan juga sebagai aspek perekonomian yang penting yang telah disumbangkan oleh Islam.

Perkembangan Islam ke daerah Nusantara dibawa oleh mubaligh Islam, dan ajaran yang dibawa oleh mereka adalah berbentuk metafizik dan bercorak intelektralisme. Dengan yang demikian, flkiran orang-orang Melayu telah terbuka, dan lahirlah rasionalisme dan intelektualisme dalam masyarakat Melayu yang tiada terdapat sebelum kedatangan Islam. Dengan kelahiran unsur rasionalisme, ia merupakan sebagai satu cabaran kepada unsur mitologi dan dongeng-dongeng yang menitikberatkan alam khayalan dan fantasi yang membicarakan tentang dewa-dewa dan pari-pari. Mubaligh-mubaligh Islam membawa kepercayaan monoteisme dengan penekanan kepada fikiran yang rasional untuk mempertahankan keterangan-keterangan mengenai wujudnya Tuhan.

Kedatangan Islam membawa dorongan utama ke arah penghayatan ilmu pengetahuan dan daya berfikir bukan sahaja kepada golongan istana, tetapi juga kepada orang awam. Hasil penulisan pada zaman Islam bukan semua dihasilkan untuk kepentingan raja-raja dan golongan bangsawan, malah kitab-kitab itu dituliskan untuk bacaan orang Islam umumnya. Jelaslah daripada perkembangan baru hasil penulisan dan karya-karya kesusasteraan lebih bercorak demokrasi dari masa yang sudah-sudah. Islam telah membawa bentuk baru dalam bidang kesusasteraan. Hasil-hasil kesusasteraan Islam dalam bentuk kisah nabi-nabi dan pahlawan-pahlawan Islam mengambil alih epik-epik dan hikayat-hikayat Hindu yang penuh dengan khayalan dan fantasi. Kitab-kitab agama dan falsafah Islam telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu mulai berkembang dengan pesatnya. Istilah-istilah daripada bahasa Arab dipinjam dan ditambahkan lagi untuk memperkayakan lagi perbendaharaan kata-kata Melayu.

Agama Islam dengan semangat jihadnya memberi inspirasi untuk menyintai tanahair di dalam diri penduduk di daerah Alam Melayu. Semangat Islam memainkan peranan utama menyatupadukan tenaga politik penduduk setempat untuk menentang kolonialisme dari Barat. Semangat persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam dapat menyatupadukan berbagai-bagai suku dan puak, misalnya terdapat berbagai-bagai suku kaum di Indonesia, namun dengan semangat Islam mereka dapat bersatu di bawah pertubuhan-pertubuhan kebangsaan telah berjuang menuntut kemerdekaan berdasarkan agama Islam. Tidak syak lagi bahawa agama Islam dengan semangat keislamannya yang ber- kobar-kobar telah menyatukan penduduk di Nusantara bagi berjuang mem- bebaskan diri mereka daripada kuasa penjajahan Barat.

Antara ciri-ciri kebudayaan Islam yang menjadi amalan penduduk di Nusantara, ialah gambaran masyarakat Islam yang hidup secara persaudaraan di dalam sebuah kampung. Masjid merupakan tempat tumpuan pada hari-hari Jumaat, atau pada waktu malam hari kerana mendengar pengajaran-pengajaran agama. Masjid merupakan balai permesyuaratan di kalangan penduduk di sesebuah kampung, di situ mereka berunding bersama-sama dalam hal-hal kehidupan mereka. Agama Islam memainkan peranan yang penting dalam kesejahteraan rakyat di Alam Melayu. Apabila agama mendapat tempat yang begitu baik, maka terdapat keamanan dan kesejahteraan di kalangan penduduknya. Maka lahirlah perasaan bersatu padu dan kasih sayang antara mereka seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Islam sebagai agama yang menggalakkan perkembangan ilmu pengetahuan, maka dengan kedatangan Islam pusat-pusat pendidikan Islam mulai didirikan di merata-rata tempat di daerah Alam Melayu. Di samping masjid dan surau, sekolah agama didirikan untuk mengajar ilmu pengetahuan agama Islam mulai daripada pelajaran membaca Quran hinggalah kepada pelajaran ilmu fekah, tauhid, tasawuf, bahasa Arab, nahu dan lain-lain lagi.

Undang-undang Islam daripada Mazhab Shafie memainkan peranan penting dalam menentukan hal-hal yang mengenai kehidupan penduduk di Alam Melayu seperti perkara yang berkaitan dengan warisan, harta, undang-undang mu'amalah perkara yang berkaitan dengan perkahwinan, dan hukuman yang tertentu terhadap orang-orang yang membuat kesalahan. Pengaruh undang-undang Islam juga terdapat dalam undang-undang setempat seperti Undang-undang Luaran di Filipina dan Hukum Kanun Melaka di Semenanjung Tanah Melayu. Di samping itu, terdapat undang-undang adat yang diamalkan di beberapa daerah tertentu yang bercampur dengan pengaruh undang-undang Islam.

Pengaruh Islam Di Alam Melayu - Kebudayaan

Agama Islam mempengaruhi semua aspek kehidupan orang Melayu. Misalnya dalam bidang politik, sistem pemerintahan Melayu yang terawal di Semenanjung ialah sistem Kesultanan Melayu Melaka. Kemudian diikuti oleh negeri-negeri yang lain seperti Terengganu dan Pahang. Salah satu peninggalan bertulis dari zaman Melaka ialah Undang-undang Melaka.Undang-undang Melaka ini menggambarkan kepada kita corak, atau cara pemerintahan yang telah dijalankan di negeri itu. Undang-undang itu juga mungkin merupakan sebahagian perlembagaan negeri yang berkenaan.

Jika dikaji Hukum Kanun Melaka yang wujud sejak abad ke-14 itu ternyata sekali bahawa Islam telah memainkan peranan yang penting. Mukadimah undang-undang tersebut dimulakan dengan doxologi keislaman, kemudian didefinisikan jawatan Sultan Mahmud dan Raja-raja Melaka sebagai Khalifah al-Mu'minin. Satu fasal undang-undang itu ada menyebut: "berhubung dengan menteri-menteri, pegawai-pegawai istana dan pasukan tentera, mereka hendaklah bertindak berdasarkan firman Allah dalam al-Quran dan menjalankan suruhannya untuk membuatkan kebaikan dan menegahkan kejahatan."

Apa-apa yang diperkatakan oleh Hukum Kanun Melaka itu memang bertepatan sekali dengan laporan Sejarah Melayu tentang wasiat Sultan Mansur Syah kepada puteranya Sultan Alauddin supaya menjalankan pentadbiran negeri menurut perintah Allah. Sultan Alauddin pernah meniru jejak langkah Khalifah Umar ibn al-Khattab yang menyamar diri pada waktu malam hari untuk menyiasat tentang kesusahan rakyat. Sultan Alauddin berbuat demikian kerana ingin menghapuskan perompak-perompak yang bermaharajalela di Melaka pada waktu malam hari. Menurut Sejarah Melayu, tindakan Sultan Alauddin itu telah menjadikan bandar Melaka menjadi aman kembali.

Hukum Kanun Melaka yang menjadi sistem undang-undang bagi mentadbir negeri Melaka memperlihatkan beberapa fasal yang disandarkan kepada sistem undang-undang Islam. Salah satu fasalnya ada menyebutkan tentang keperluan ketua negara untuk berunding dan bermesyuarat dengan pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat jelata. Hal ini sama seperti sistem pemerintahan Islam pada zaman Khulafa' al-Rasyidin, yang berdasarkan konsep 'Syura' seperti yang ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran. Beberapa fasal dalam Hukum Kanun Melaka yang berhubung dengan kesalahan membunuh, berzina, membuat fitnah, meminum minuman keras, bersumpah, kesaksian, hukum murtad, wakaf, wang bunga dan lain-lain memperlihatkan bahawa Hukum Kanun Melaka itu kuat dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam. Sejarah Melayu juga menyebut tentang masalah-masalah agama yang menjadi perhatian. Raja-raja Melaka hingga terpaksa dihantar beberapa utusan ke Pasai. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan tentang sifat kezaliman beberapa orang Sultan Melaka. Keadaan ini mungkin berlaku kerana kekuasaan politik tertumpu kepada ketua kerajaan sahaja, seperti yang berlaku dalam pemerintahan Islam daripada keluarga Umaiyah dan Abbasiyah yang menyalahgunakan kuasa mereka.

Undang-undang Pahang yang mungkin merupakan perlembagaan negeri itu sejak tahun 1592 Masihi telah memproklamirkan Pahang sebagai 'Dar al-Islam' dengan Sultan Abdul Ghafur Muhaiyuddin Syah (1592-1614 T.M.) sebagai Khalifah. Undang-undang Pahang itu telah digubal hampir sepenuhnya berdasarkan hukum Islam. Daripada 68 fasal dalam Undang-undang Pahang, 42 fasal merupakan terjemahan sepenuhnya daripada undang-undang Islam daripada Mazhab Syafie. Islam juga memainkan peranannya dalam sistem pemerintahan Melayu di Terengganu. Pada catatan di batu bertulis terdapat bukti bahawa hukum Islam mengenai kesalahan zina telah dilaksanakan di negeri itu sejak tahun 1303 Masihi lagi.

Dalam sistem pemerintahan Kerajaan Aceh banyak bukti yang dapat diberikan tentang kedudukan Islam dalam pentadbiran negeri itu. Snouck Hungronje dalam bukunya The Achinese walaupun mendakwa undang-undang adat berleluasa di negeri itu, juga mengakui bahawa undang-undang Islam amat kuat dijalankan di Aceh berbanding dengan tempat-tempat lain di Alam Melayu. Jawatan pentadbir undang-undang tertinggi di bawah Kesultanan Aceh ialah Kadi-Malik al-Adil. Jawatan yang rendah sekali ialah Imam yang bertanggungjawab bagi pentadbiran di tiap-tiap mukun, termasuk urusan sembahyang Jumaat. Oleh kerana pengaruh Islam begitu kuat di Aceh, sistem perlantikan ketua kerajaan daripada kalangan kaum wanita telah diberhentikan selepas Sultanah Kamalat Syah (1688-1699 Masihi) kerana didasarkan kepada satu fatwa dari Mekah yang melarang perlantikan wanita sebagai ketua Kerajaan Islam.

Dalam bidang sosial, Islam telah membawa satu perubahan yang radikal seperti yang diperkatakan oleh Wertheim dalam bukunya Indonesian Society in Transition. Menurut beliau, Islam telah memperkenalkan konsep sama rata, atau unsur demokrasi sebagai ganti sistem kasta Hindu yang membahagikan penduduk Alam Melayu kepada beberapa susun lapis seperti di India. Menurut Wertheim, Islam telah menghapuskan semangat kedaerahan dan membentuk perpaduan di kalangan penduduk Alam Melayu melalui konsep umah, atau masyarakat Islam. Proses perpaduan ini menurut beliau dicapai melalui perlakuan ibadat, termasuk mengerjakan haji. Beliau menyamakan peranan Islam di Alam Melayu dengan zaman permulaan Islam di negeri Arab, kerana Islam telah menghapuskan semangat kesukuan orang-orang Arab dalam zaman pralslam, dan menggantikan fahaman yang bercorak universal tanpa semangat perkauman, atau kebangsaan yang sempit.

Apabila orang Melayu mula memeluk agama Islam, mereka mempelajari ayat-ayat Quran untuk tujuan menunaikan fardu sembahyang. Dari tahap ini, orang Melayu mula digalakkan belajar membaca serta diikuti pula dengan proses pembelajaran yang bercorak ilmu-ilmu agama. Penulisan bahasa Melayu yang menggunakan huruf Quran mulai berlaku dengan tujuan mengarang buku-buku mengenai agama Islam.

Daripada dorongan pembelajaran itu, lahirlah institusi-institusi agama Islam yang berpusat di madrasah, surau dan masjid, diikuti oleh peringkat yang lebih tinggi, iaitu pondok, langgar, rangkang dan pesantren. Pesantren merupakan satu institusi pengajian tinggi agama Islam yang bercorak tradisi di Pulau Jawa. Kini beberapa buah pesantren di Pulau Jawa telah disamakan kedudukannya dengan universiti Islam, walaupun nama dan beberapa identiti tradisinya masih dikekalkan. Pengajian agama Islam serta penulisan yang bercorak keislaman telah menggalakkan perkembangan bahasa Melayu bukan sahaja di Alam Melayu, tetapi di beberapa daerah di Tenggara Asia, termasuk rantau Indo-China.

Pengaruh Islam meliputi semua aspek kebudayaan Melayu. Apa-apa yang telah diperkatakan di atas merupakan sebahagian daripada contoh bidang kebudayaan yang telah diterokai oleh agama Islam dalam zaman permulaannya. Benarlah pendapat Wertheim bahawa agama Islam dalam beberapa hal turut mencetuskan revolusi dan memodenkan masyarakat Melayu tradisi.

Pengaruh Islam Di Alam Melayu - Kesusasteraan

Dalam zaman permulaan Islam penyebar-penyebar Islam telah menulis risalah-risalah agama yang menerangkan tentang rukun-rukun iman dan rukun-rukun Islam. Di samping tulisan mengenai ajaran Islam, penyebar-penyebar agama Islam itu tentu turut mengisahkan tentang pembawa ajaran yang tersebut, iaitu Nabi Muhammad. Cerita-cerita tentang Nabi Muhammad dapat dianggapkan sebagai yang paling tua usianya, jika dibandingkan dengan karya kesusasteraan pengaruh Islam yang lain. Lagipun cerita-cerita seperti ini tiba bersama-sama kedatangan Islam ke daerah ini. Cerita-cerita mengenai Nabi Muhammad ini memperkatakan tentang ketokohannya, sifat-sifatnya yang ideal, peristiwa-peristiwa yang luar biasa mengenai dirinya sebagai pesuruh Allah dan lain-lain. Cerita-cerita ini disadurkan oleh penulis-penulis Islam setempat daripada kesusasteraan Arab dan Parsi seperti Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Makjizat Nabi, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Wafat, Hikayat Nabi Mikaj, dan Hikayat Rasulullah. Ajaran-ajaran Islam juga disampaikan melalui cerita-cerita mengenai Nabi seperti Hikayat Nabi Muhammad Dengan Iblis. Hikayat Puteri Salamah yang mengandungi nasihat Nabi tentang tugas seorang isteri dalam Islam. Hikayat Seribu Masalah mengandungi dialog antara Nabi dengan pemimpin Yahudi. Hikayat-hikayat lain daripada jenis yang sama seperti Hikayat Nabi Mengajar Ali, Hikayat Nabi Mengajar Anaknya Fatimah, Hikayat Nabi Dengan Orang Miskin, dan lain-lain.

Dalam al-Quran ada tersebut tentang cerita-cerita yang ringkas mengenai nabi-nabi. Cerita tentang nabi-nabi ini telah disadurkan oleh penulis-penulis Islam daripada bahasa Arab atau Parsi, ke dalam kesusasteraan Melayu. Misalnya Hikayat Nabi-nabi, Hikayat Nabi Sulaiman, Hikayat Nabi Musa, Hikayat Nabi Yusuf, Hikayat Raja Jumjumah, Hikayat Zakaria, Hikayat Lumkan al-Hakim, Hikayat Nabi Allah Ayub, Hikayat Nabi Musa Munajat dan lain-lain.

Cerita-cerita mengenai para sahabat Nabi dan tokoh-tokoh Islam juga digubahkan menjadi cerita seperti Hikayat Abu Bakar, Hikayat Amir al-Mu'minin Umar, Hikayat Abu Syahmah, Hikayat Abu Bakar dan Rahib Yahudi, Hikayat Raja Khandak, Hikayat Hassan dan Hussain, Hikayat Tamin al-Dari dan lain-lain.

Penulis-penulis Islam dipercayai juga menghasilkan cerita-cerita mengenai pahlawan-pahlawan Islam dalam Kesusasteraan Melayu seperti Hikayat Amir Hamzah. Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Sa'ifZul Yazan, Hikayat Semaun dan seterusnya. Menurut Winstedt bahawa Cerita-cerita Berbingkai adalah bersumberkan dari Tanah Arab, atau Parsi. Untuk menyalin, atau menyadurkan karya-karya yang tersebut memerlukan orang-orang yang menguasai bahasa Arab dan Parsi. Orang Melayu yang menguasai bahasa-bahasa tersebut pada umumnya terdiri daripada mereka yang mendapat didikan melalui institusi-institusi pengajian Islam. Bahasa-bahasa tersebut merupakan sebagai bahasa asas dalam bidang pengajian Islam pada masa yang lampau. Dengan yang demikian, penyalin-penyalinnya adalah daripada penulis-penulis Islam. Cerita-cerita Berbingkai yang dimaksudkan itu ialah Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Kalilah Dan Daminah, Hikayat Bakhtiar, dan lain-lain.

Dalam sejarah perkembangan Islam terdapat ahli-ahli sufi yang terkenal dalam dunia Islam dan aliran fahaman mereka telah menjadi ikutan. Cerita-cerita tentang ahli-ahli sufi itu dituturkan sehingga menjadi suatu legenda. Cerita-cerita itu kemudian dituliskan orang. Penulis-penulis Islam di Alam Melayu turut menyadur, atau mengubahkan cerita-cerita mengenai tokoh-tokoh yang tersebut untuk menjadi contoh dan teladan kepada pembacanya. Cerita-cerita tersebut adalah seperti Hikayat Sultan Ibrahim, Hikayat Abu Yazid Bistami, Hikayat Syeikh Abdul Kadir Jailani, Hikayat Rabe'ah, Hikayat Darmatasih, dan lain-lain.

Cerita-cerita rekaan telah digubahkan untuk tujuan memberi hiburan di samping memasuki beberapa unsur didaktik. Cerita-cerita seperti ini ialah mengenai Raja-raja Islam dan putera-putera raja. Persoalan-persoalan dalam cerita ini selalunya menyentuh tentang pengembaraan, percintaan, perjuangan mereka untuk menegakkan keadilan dan lain-lain. Hikayat-hikayat seperti ini dalam Kesusasteraan Melayu telah digubah oleh penulis setempat, atau disadurkan daripada tulisan-tulisan dalam bahasa Arab, Parsi dan Hindustan. Antara saduran-saduran itu ialah Hikayat Raja Damsyik, Hikayat Muhammad Mukabil, Hikayat Jauhar Manikam, Hikayat Hassan Damsyik, Hikayat Sultan Bustaman, Hikayat Gul Bakawali, dan lain-lain. Cerita-cerita jenaka turut diciptakan seperti cerita-cerita mengenai Abu Nawas, seorang penyair yang terkenal dalam zaman Kerajaan Abbasiyah. Daripada jenis yang sama juga termasuk Hikayat Umar Umaiyah yang telah dipadankan daripada sebuah karya asal dalam bahasa Arab.

Sumbangan penulis-penulis selanjutnya dalam bentuk sastera ketatanegaraan yang pada umumnya telah disusunkan bersumberkan daripada ajaran Islam, malah judulnya sendiri telah menggunakan bahasa Arab, seperti Bustan al-Salatin (Taman Segala Raja) yang dikarangkan oleh Syeikh Naruddin al-Raniri, dan Taj al-Salatin (Mahkota Raja-raja) yang telah dikarangkan oleh Bokhari al-Jauhari.

Pengaruh Islam Di Alam Melayu - Puisi Melayu

Sumbangan penulis-penulis Islam termasuk juga dalam pengenalan bentuk- bentuk puisi dalam Kesusasteraan Melayu yang telah dipadankan dari Arab dan Parsi, seperti syair, nazam, masnawi, rubai'i, kitab, gazal, kasidah dan lain-lain. Pencipta syair yang pertama di Alam Melayu menurut Saiyid Muhammad Naguib al-Attas ialah Hamzah Fansuri, seorang pujangga Islam. Dalam karyanya, Hamzah Fansuri memusatkan persoalan-persoalannya pada soal-soal tasawuf. Hamzah telah menulis syair-syair seperti Syair Dagang, Syair Burung Pungguk, Syair Perahu, Syair Burung Pinggai, dan Syair Sidang Fakir. Syekh Abdul Rauf Singkel yang banyak menulis kitab-kitab agama juga turut menulis syair yang bercorak tasawuf berjudul 'Syair Makrifat'. Mansur anak murid Abdul Rauf telah menulis sebuah karya puisi yang bertemakan tasawuf juga berjudul 'Syair Takrif al-Huruf. Syair-syair yang lain yang bertemakan tasawuf yang tidak dapat dipastikan nama pengarangnya, seperti Syair Makrifat dan Alam Tasawuf, Syair Mistik dan Tauhid, Syair Unggas Bersoal Ilmu Akhirat, Syair Kiamat, Syair Cerita Dalam Kubur, dan lain-lain.

Syair merupakan bentuk puisi yang agak popular dalam Kesusasteraan Melayu Lama. Penulis-penulis Islam menggunakannya juga sebagai media untuk menyalurkan dakwah agama; malah puisi-puisi keagamaan telah ditulis dengan menyentuh tentang rukun-rukun Islam, rukun-rukun Iman, pengajaran hukum-hukum Islam, akhlak yang baik dan budi pekerti yang mulia. Penulis-penulis Islam juga turut mengubahkan cerita-cerita mengenai nabi dalam bentuk syair seperti Syair Nabi Bercukur, Syair Nabi Yusuf, dan Syair Puji-pujian kepada Nabi. Syair-syair yang tersebut juga dilagukan dan dinyanyikan dalam perayaan-perayaan Islam, atau dalam sesuatu istiadat keislaman. Syair-syair lain yang membawakan tema keagamaan ialah seperti Syair Qawa'id al-Islam, Syair Alif Ba Ta, Syair Ibadat, Syair Haji dan lain-lain.

Pengaruh Islam Di Alam Melayu - Perlembagaan

Menurut perlembagaan Malaysia, agama Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan Tanah Melayu (tetapi tidak menjadi agama rasmi di Sabah dan Sarawak) seperti yang tercatat dalam perlembagaan Malaysia Bab (3) Ceraian (1), iaitu agama Islam menjadi agama Persekutuan Tanah Melayu. Ceraian (2) pula menyatakan bahawa di tiap-tiap negeri, melainkan Melaka dan Pulau Pinang, kedudukan Sultan sebagai Ketua Agama di negerinya seperti yang diakui oleh perlembagaan negeri itu, dan dalam lengkongan perlembagaan itu segala hak, keutamaan dan kuasa Sultan sebagai Ketua Agama itu terpelihara. Tetapi dalam sebarang perlakuan, acara-acara dan upacara-upacara yang telah dipersetujukan oleh Majlis Raja-raja supaya meliputi kepada seluruh Persekutuan Tanah Melayu, maka tiap-tiap Sultan sebagai Ketua Agama di negerinya dapat memberi kuasa kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mewakilinya. Bagi negeri Pulau Pinang dan Melaka Bab (3) itu menyebutkan: "Perlembagaan-perlembagaan negeri Melaka dan Pulau Pinang akan mengandungi syarat-syarat untuk menganugerahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri itu".

Dalam bidang perundangan mengenai hal-ehwal agama Islam kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh. Kerajaan Pusat tidak boleh membuat sesuatu undang-undang berhubung dengan agama Islam, tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan dengan kerajaan negeri yang bersangkutan. Menurut perlembagaan itu, bahawa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua agama di negeri baginda sendiri dan juga di negeri-negeri Melaka dan Pulau Pinang, sedangkan di negeri-negeri lain Sultan masing-masing bertanggungjawab sebagai Ketua Agama. Di tiap-tiap buah negeri Persekutuan Tanah Melayu telah dibentuk sebuah pejabat agama untuk mengendalikan pentadbiran hal-ehwal agama Islam. Majlis ini diketuai oleh seorang Yang di-Pertuan. Di samping itu, terdapat Kadi-kadi dan Kadi Besar yang bertanggungjawab bagi membicarakan soal perceraian, khalwat, tidak berpuasa di bulan Ramadan, enggan menunaikan sembahyang Jumaat, bersekedudukan dan perbuatan-perbuatan yang melanggar undang-undang Syarak. Majlis agama juga bertanggungjawab mengeluarkan tauliah kepada guru-guru agama Islam di dalam tiap-tiap negeri itu. Di samping itu, terdapat pula jawatan Mufti yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan sesuatu fatwa berkaitan dengan kepentingan agama dan umat Islam. Majlis Agama bertanggungjawab mengenai harta wakaf dan Baitulmal dan mentadbirkannya untuk kebajikan orang Islam.

Kutipan-kutipan zakat dan fitrah adalah terletak di bawah kuasa Sultan yang biasanya melantik suatu jawatankuasa untuk mengendalikan kutipan ini, dan biasanya tertakluk di bawah kuatkuasa Majlis Agama Islam. Kuasa Majlis Agama itu menurut perlembagaan negeri meliputi hukum syarak seperti undang-undang, berhubung dengan harta pusaka dengan melalui cara-cara wasiat, atau tidak. Mengenai perkahwinan, nikah, talak, mas kahwin, nafkah, khalwat, bersekedudukan, harta wakaf, Baitulmal dan juga bertanggungjawab mengenai tempat ibadat, menghukum orang-orang yang melanggar hukum-hukum syarak, kecuali perkara yang terkandung dalam senarai persekutuan. Mahkamah Syariah hanya berkuasa terhadap orang-orang Islam. Majlis Agama juga bertanggungjawab mengawal sesiapa yang mencuba mengembang ajaran dan kepercayaan lain kepada penganut agama Islam.

Menurut perlembagaan Malaysia Bab (12) Ceraian (2) menyatakan: "Undang-undang Persekutuan membolehkan diberi bantuan kewangan khas untuk mengadakan atau menanggung tempat-tempat pengajian Islam, atau mengadakan pengajaran agama Islam kepada orang-orang Islam. Dengan itu, telah dicatatkan dalam Undang-undang Pelajaran 1956 Bahagian 49 antaranya menyebutkan. "Manakala ada 15 orang murid atau lebih beragama Islam di sebuah sekolah yang menerima bantuan, maka guru agama hendaknya diadakan." Dengan itu, pelajaran agama telah diberikan dengan cara meluas di semua tingkatan persekolahan di Tanah Melayu.

Untuk melicinkan lagi pentadbiran agama Islam, Jabatan Perdana Menteri mempunyai peruntukan khas untuk mengendalikan hal ehwal agama Islam, misalnya pentadbiran Masjid Negara terletak di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri. Bantuan kewangan juga diberi kepada pertubuhan-pertubuhan Kebajikan Islam untuk usaha-usaha penyiaran Islam di kalangan penduduk Tanah Melayu dan lain-lain lagi. Kini Jabatan Perdana Menteri menjalankan aktiviti dakwah melalui Institiut Dakwah Islam dan kegiatan penyelidikan melalui Pusat Penyelidikan Islam Jabatan Perdana Menteri. (Dr. Ismail Hamid (1985). Pengantar Sejarah Umat Islam. Kuala Lumpur : Heinemann (malaysia) Sdn. Bhd.)

2.4 Tamadun Melayu sebagai asas pembinaan Tamadun Malaysia

Tamadun Malaysia yang sedang dimantapkan sekarang wujud dari satu proses sejarah yang sambung-menyambung dan dapat dibuktikan melalui pelbagai sumber arkeologi mahupun sejarah. Dari segi sejarah terbukti bahawa wilayah politik yang bernama Malaysia sekarang adalah lanjutan daripada politik-politik Melayu seperti Melaka, Johor, Perak, Pahang, Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Politik-politik ini juga adalah kesinambungan daripada pelbagai kerajaan Melayu yang pernah wujud pada zaman sejarah seperti Srivijaya, Temasik (Singapura), Langkasuka, Melaka, Johor-Riau-Lingga dan lain-lain. Keseluruhan politik ini terangkum di dalam satu wilayah budaya yang dikenali sebagai Kepulauan Melayu, Alam Melayu atau Nusantara dan di wilayah inilah Tamadun Melayu wujud berkembang.

Lantaran fakta sejarah tersebut, maka paksi utama yang menyumbang kepada pembinaan dan pemantapan Tamadun Malaysia ialah Tamadun Melayu. Setiap politik Melayu yang disebutkan di atas diperintah oleh raja atau sultan. Sistem pemerintahan raja berpelembagaan sekarang ini adalah antara sumbangan utama Tamadun Melayu kepada Tamadun Malaysia. Perlembagaan Malaysia memaktubkan dua institusi, iaitu Yang diPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. Yang diPertuan Agong merupakan ketua utama negara, yang mengetuai tiga badan di dalam kerajaan, iaitu perundangan (legislative), pemerintahan (executive) dan kehakiman (judiciary).

Sebagai ketua legislatif, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan dalam memperkenankan undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum diwartakan menjadi undang- undang yang sah. Sebagai ketua utama negara, baginda melantik Perdana Menteri dan Menteri-menteri, Ketua Hakim dan Hakim-hakim, Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-duta Malaysia ke luar negara. Sebagai sumber keadilan negara, baginda juga mempunyai kuasa mengampun setiap kesalahan sama ada di mahkamah sivil yang dilakukan di Wilayah Persekutuan; atau mahkamah tentera. Baginda juga adalah pemerintah tertinggiAngkatan Bersenjata Malaysia, di samping bertindak sebagai ketua agama Islam di Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Yang diPertua Agong tidak terlibat di dalam politik dan pemerintahan negara, dan baginda boleh mewakilkan tugasnya kepada sesiapa atau suruhanjaya yang dilantik oleh baginda. Baginda adalah payung dan paksi kepada perjalanan sistem pemerintahan. Inilah hakikat sistem raja berperlembagaan kerana baginda tidak berkuasa mutlak. Baginda bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri, seperti termaktub di dalam perlembagaan. Sebagai satu entiti politik, Malaysia merupakan sebuah negara merdeka yang menjunjung keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Dari semenjak zaman sejarah, negeri-negeri Melayu memiliki kanun perundang yang berasaskan adat Melayu dan perundangan Islam. Negeri Melayu seperti Melaka memiliki Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka, Johor dengan Undang-undang Johor dan Undang-undang Tubuh Negeri Johor (1895), Pahang dengan Undang-undang Pahang; Kedah dengan Undang-undang Kedah; Terengganu dengan Itqan Al-Mulk (Perlembagaan Negeri Terengganu 1911); Perak dengan Undang-undang II dan Undang-undang Keturunan Daripada Turun Negeri Perak; Negeri Sembilan pula dengan Hukum Adat atau Undang-undang Adat yang terdapat di empat daerah utama, iaitu Sungai Ujong, Rembau, Johol dan Jelebu. Tradisi pemerintahan berasaskan perundangan dan perlembagaan ini dilanjutkan pula kepada entiti politik Malaysia.

Semenjak zaman sejarah sehingga kini, Tamadun Melayu telah dimantapkan oleh Islam. Islam dan adat Melayu, secara khusus telah menjadi salah satu struktur terpenting kemelayuan. Islam dan adat Melayu merupakan struktur yang saling melengkapi dan terintegrasi ke dalam wadah kemelayuan. Islam terus menjadi faktor definitif Melayu, iaitu Melayu mengamal adat Melayu, berbahasa Melayu dan beragama Islam. Takrifan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi secara meluas di Alam Melayu. Islam menjadi identiti sosial dan budaya orang Melayu. Islam bukan sahaja menjadi faktor yang mentakrifkan Melayu, juga dimaktubkan di dalam perlembagaan Malaysia bahawa Islam adalah agama persekutuan dan setiap raja atau sultan adalah ketua agama bagi setiap negeri di dalam Persekutuan Malaysia. Peruntukan ini termaktub di dalam Fasal 3 Perlembagaan Malaysia dan dengan peruntukan ini membolehkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri melaksanakan pembangunan Islam dalam pelbagai bidang, termasuk melaksanakan pentadbiran dan Undang-undang Islam. Dengan termaktubnya agama Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia, tidak bermakna agama-agama lain tidak boleh dianuti oleh orang-orang bukan Melayu atau bukan Islam.

Perkembangan Islam di Alam Melayu tidak boleh dipisahkan daripada peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu. Bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa tulisan untuk sejumlah besar kitab-kitab agama dan kesusasteraan Melayu, malah menjadi pengantar komunikasi utama perkembangan Alam Melayu. Para pendakwah menggunakan bahasa Melayu sebagai media komunikasi mereka. Bahasa Melayu menjadi lingua franca di kalangan para pedagang yang berdagang di kawasan ini. Bahasa Melayu adalah bahasa persatuan dan kesatuan Melayu di Alam Melayu. Berdasarkan logika sejarah tersebut, maka dimaktubkan juga di dalam perlembagaan Persekutuan Malaysia bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

Akta Pendidikan 1961, telah menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara, dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Perlembagaan Persekutuan Malaysia juga menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam. Perlembagaan Persekutuan juga mengiktiraf akan adanya undang-undang adat yang terlaksana di kalangan orang Melayu dan juga peribumi Sabah dan Sarawak. Undang-undang adat yang sudah lama dipakai semenjak sebelum adanya undang-undang bertulis, telah lama digunakan oleh orang Melayu dan masyarakat peribumi lain, namun undang-undang tersebut tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Tamadun Melayu sebenarnya telah banyak memainkan peranan sebagai asas Tamadun Malaysia. Kemasukan British ke negeri-negeri Melayu telah banyak mengubah landskap budaya dan ketamadunan. British telah membawa masuk atau membenarkan kemasukan orang-orang Cina dan India ke negeri-negeri Melayu kerana kepentingan ekonomi. Semangat kebangsaan Melayu mula berkembang pada awal tahun 1900 apabila golongan inteligensia Melayu yang berpendidikan Islam menerbitkan akhbar, seperti Al-Imam (1906) yang cuba membangkitkan kesedaran terhadap agama, bangsa dan tanah air. Usaha demikian dilanjutkan pula oleh inteligensia Melayu yang berpendidikan Melayu khususnya dari Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) melalui tulisan-tulisan mereka di akhbar-akhbar dan majalah yang berusaha membangkitkan kesedaran kebangsaan Melayu. Bersama-sama dengan inteligensia Melayu berpendidikan Inggeris, mereka telah bersatu menentang gagasan Malayan Union yang cuba diperkenalkan oleh British Military Administration (BMA) pada tahun 1946. Penentangan terhadap Malayan Union, yang cuba menghapus kedudukan raja-raja Melayu dan memberi kerakyatan kepada orang asing, telah menyatupadukan semua orang Melayu dari pelbagai negeri Melayu untuk menentang penjajahan dan menuntut kemerdekaan. Akhirnya pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya mencapai kemerdekaan, pada 16 September 1963, Sabah dan Sarawak bersetuju menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

Semangat Melayu yang berasaskan Islam telah berjaya menyatupadukan orang Melayu dan merupakan instrumen terpenting untuk mencapai kemerdekaan negara bersama-sama rakyat bukan Melayu. Intrumen ini juga berjaya menghapuskan ideologi komunis dari negara ini. Inilah sumbangan terbesar Tamadun Melayu dalam pembentukan negara dan bangsa Melayu yang harus difahami oleh semua rakyat Malaysia danjuga dunia luar.

1- Pengenalan Ilmu Ketamadunan

1.1 Konsep Tamadun Islam

PERISTILAHAN
Ada empat istilah yang pernah digunakan oleh sejarawan-sejarawan Islam untuk menghuraikan makna Tamadun yang telah digunakan dalam penulisan tentang tamadun setakat ini.

Pertama :
Perkataan “Umran”. Perkataan ini telah digunakan oleh Ibn Khaldun, seorang pengkaji tamadun yang pertama di dunia dalam bukunya yang terkenal al-Muqaddimah lil-Kitab al-Ibar dalam kurun yang ke-14. Pada masa ini, ia lebih dikenali dengan panggilan Muqaddimah Ibn Khaldun sahaja.

Perkataan ‘Umran berdasarkan kepada Firman Allah s.w.t.

Terjemahan: Dia lah Yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkan nya. (Surah Hud:61).

Perkataan ini telah diterjemahkan oleh sarjana Barat, Prof. Franz Rosenthal sebagai Urbanization yang bererti perbandaran dan tamadun dinyatakan sebagai civilization yang bererti tamadun itu belum wujud di dalam perkamusan orang Barat. Oleh kerana itu, pengarang kamus Dictionary of the English Language, Dr. Samuel Johnson (1709-1784) telah enggan memasukkan perkataan ini ke dalam kamusnya.

Beliau suka menggunakan perkataan civility bagi makna tersebut. Perkataan civilization ini hanya lahir di kalangan penulis-penulis Barat pada kurun yang ke-19. Ini membawa kita kepada pengertian bahawa Barat mengenali tamadun dengan konsepnya hanya pada kurun yang ke-19.

Kedua :
Perkataan “Hadarah” juga digunakan oleh Ibn Khaldun sebagai seerti dengan perkataan Umran. Ini diakui oleh Prof. G.T. Vorn Grunebum dengan makna civilization. Hadarah dalam bahasa Arab bererti tinggal menetap dalam sesebuah wilayah, daerah atau bahagian ibu kota dan bandar. Daripada erti perkataan Hadarah ini dapat difahamkan bahawa apa yang kita namakan tamadun itu adalah berasal dari bandar. Kerana bandar merupakan tempat yang sesuai untuk melahirkan ketamadunan disebabkan di situ terdapat segala perkara dan kemudahan yang boleh menjadi asas kepada kelahiran dan peningkatan tamadun.

Ketiga :
Dalam kurun yang ke-20 timbul pula perkataan “Madaniyyah” sebagai perkataan yang ketiga yang telah digunakan oleh dua orang penulis Islam dan mereka juga membayangkan erti tamadun.

Muhammad Firid Wajdi telah menggunakan perkataan ini dalam bukunya al-Madaniyyah Wal-Islam" (Tamadun dan Islam) dalam tahun l899.

Manakala Syekh Muhammad Abduh pula menggunakan perkataan ini dalam bukunya Al-Islam Wa-an-nasraniyyah Ma'al-'ilm Wa al-Madaniyyah dalam tahun 1901. Yang menariknya, Muhammad Abduh telah menggunakan perkataan ini dalam buku tafsir al-Qurannya, Tafsir al-Manar.

Bagaimanapun, kedua-dua penulis ini telah memberi nafas baru dalam pendekatan terhadap kefahaman tentang tamadun di kalangan masyarakat, terutamanya di kalangan ahli bahasa sendiri.

Keempat :
Selepas beberapa ketika, perkataan Madaniyyah telah mengambil tempat dalam bidang penulisan dengan memberi erti yang sama dengan Tamadun maka lahirlah pula kemudiannya perkataan “Tamadun” yang berakarkan perkataan Madaniyyah. Perkataan Tamadun lebih cepat berkembang dan popular di kalangan masyarakat dengan pengekalan konsep Madaniyyah yang berakarkan perkataan Madinah yang bererti bandar dengan pengertian bahawa tamadun itu adalah kebudayaan bandar. Perkataan ini telah digunakan oleh seorang penulis Arab, Jurji Zaidan dalam bukunya yang berjudul Tarikh at-Tamaddun al-Islam (The History of Islamic Civilization). Buku ini terkenal sebagai sebuah buku yang lengkap dalam memperkatakan tamadun Islam dan sejarah perkembangannya, dan telah dialihbahasakan ke dalam berbagai-bagai bahasa seperti Turki, Parsi dan Urdu selain bahasa Inggeris. Buku ini juga telah dapat menonjolkan pengertian sebenar yang dibayangkan oleh perkataan ketamadunan manusia seperti yang dikehendaki.

DEFINISI TAMADUN ISLAM
Sebagaimana yang telah diterangkan bahawa setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza terhadap tamadun. Adalah nyata tentang perbezaan pendapat tentang tamadun apabila diikuti definisi yang telah dikemukakan oleh mereka dalam menerangkan pengertian sebenar tamadun itu.

Di sini dirangkaikan beberapa definisi yang pernah diberikan oleh beberapa orang penulis daripada kalangan orang Islam dan juga orang Barat.

1. Penulis Barat, Clive Bell telah mendefinisikan tamadun seperti berikut: "Tamadun merupakan suatu ciri masyarakat yang membezakan sebuah masyarakat maju dengan masyarakat mundur adalah tamadunnya."
2. Robert Haini mengatakan, "Tamadun adalah suatu cara hidup yang dapat dicirikan. Tamadun merupakan kemuncak kebudayaan sesebuah masyarakat dan juga merupakan pencapaian kejayaan manusia yang mengangkat dirinya ke atas seperti sebuah gunung di pertengahan bukit-bukit dan dataran."
3. Manakala Riberio, seorang anthropologis menegaskan, "Tamadun sebagai cantuman susunan dan proses tamadun individu." Riberio menekankan beberapa proses dalam menuju tamadun. Baginya yang penting sekali ialah revolusi bandar. Katanya, "Bandar-bandar rnemancarkan kepada manusia peluang-peluang untuk kemajuan material dan spiritual mereka."
4. Bagi Arnold J. Toynbee, tamadun dikatakan jenis kebudayaan yang wujud di bandar-bandar. Ini memberikan kesimpulan bahawa tamadun itu adalah merupakan tatacara hidup yang dicetuskan oleh orang yang tinggal di bandar-bandar. Ini sangat menepati dengan perkataan Madinah yang menjadi akar kepada tamadun.
5. Manakala daripada kalangan sarjana Islam pula, didapati definisi yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun mengatakan, "Kalimah Tamadun memberi erti segala pelbagai dalam kemewahan hidup dan setiap usaha untuk mempertingkatkan kilang perindustrian yang sentiasa digunakan dalam berbagai-bagai sektor".
6. Dr. Muhammad Baki pula mendefinisikan, "Tamadun ialah segala usaha dan daya cipta yang membayangkan secara khusus daripada manusia dengan menggunakan akal, perasaan dan tingkah laku. Ia dimaksudkan juga dengan falsafah, ilmu pengetahuan, agama, kesenian, kesusasteraan, akhlak, dan perkara-perkara lain yang menerima peningkatan dan pembangunan."
7. Seorang ilmuwan tempatan, Syed Muhammad Naqiub al-Attas pula mengatakan, "Tamadun bermaksud keadaan kehidupan insan yang bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi masyarakatnya."
8. Abu Bakar Hamzah pula mengatakan dalam bukunya Sejarah Kebudayaan Islam. "Tamadun ialah sesuatu yang lahir dan kembang bersama-sama dengan kehidupan manusia dan perkembangan- perkembangan yang lahir daripadanya, sama ada sesuatu yang berupa niskala (abstrak) mahupun yang berupa sekala (material)."
9. Definisi-defimsi tersebut telah disimpulkan oleh M.AJ. Beg; "Maksud tamadun sebagai suatu rangkaian terdiri daripada fenomena masyarakat manusia seperti bandar, huruf, senibina, agama, undang-undang dan rangka dasar politik."

KONSEP TAMADUN ISLAM
Walaupun tidak didapati definisi yang khusus tentang Tamadun Islam yang pernah dikemukakan oleh penulis-penulis, sama ada Ibn Khaldun dan yang lain-lain tetapi dapat juga difahami apa yang dikatakan Tamadun Islam itu daripada kandungan dan huraian yang telah diberi oleh ilmuwan dalam penulisan mereka.

Mereka menyatakan bahawa Tamadun merupakan segala yang dihasilkan oleh fikiran orang Islam menurut wataknya dan panduan agama Islam sendiri, dan ini termasuklah juga segala alat, perkakas dan sebagainya, yang pernah mereka hasil dan gunakan sejak dahulu hingga sekarang.

Selain daripada bangsa Arab yang telah mengembangkan Tamadun Islam itu, bangsa Sepanyol, Parsi, Turki, India dan bangsa yang lain yang berada di dalam pemerintahan Islam turut sama memberi sumbangan penting dalam pembinaan Tamadun Islam.

Disamping itu, dapat dibuat kesimpulan bahawa Tamadun Islam itu merupakan suatu tamadun yang telah diadun dalam bentuk antara bangsa. Sifat ini dapat dibuktikan daripada hasil-hasil pencapaian Tamadun Islam itu sendiri di dalam berbagai-bagai bidang kemajuan, terutama sekali dalam bidang kesenian, dan ini termasuk juga senibina. Berbagai-bagai bentuk hasil kesenian dan senibina adalah lahir daripada Tamadun Islam. Adunan ini berpandukan kitab perundangan Islam, iaitu al-Quran dan al-Hadis yang dilahirkan dalam satu bentuk tamadun pemikiran yang mempunyai sifatnya yang tersendiri. Ini merupakan tamadun yang baru, melambangkan keperibadian Islam yang terus berkembang untuk memberi sumbangan terhadap kehidupan manusia keseluruhannva.

HUBUNGAN TAMADUN DENGAN KEBUDAYAAN
Apabila membincangkan tentang tamadun bererti tidak dapat dipisahkan daripada membicarakan tentang kebudayaan, kerana kebudayaan dan tamadun merupakan dua konsep yang mempunyai perkaitan yang rapat di antara satu dengan yang lain. Perkaitan di antara kedua-duanya pula merupakan bahawa kebudayaan merupakan keseluruhan tamadun hidup manusia, sementara tamadun adalah merupakan pecahan daripada kebudayaan itu.

Kebudayaan dalam pengertiannya boleh diertikan sebagai cara hidup. Oleh itu, Kebudayaan Islam, bererti cara hidup Islam manakala Kebudayaan Barat adalah cara hidup orang Barat. Kebudayaan Islam adalah berlainan daripada Kebudayaan Baral. Kebudayaan Islam adalah cara hidup Islam yang dilaksanakan dalam masyarakat Islam yang digariskan mengikut apa yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Hadis Nabi s.a.w. Dari itu, kebudayaan Islam tunduk kepada peraturan-peraturan yang ditentukan oleh kedua-duanya yang berpokok kepada al-Quran sendiri, sebagai kitab perundangan yang telah diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui malaikat Jibril, dan ini merupakan wahyu Allah kepada pesuruhNya Muhammad s.a.w. Yang demikian, kebudayaan Islam wujud dengan kedatangan agama sebagai agama tanzil atau agama langit yang tunduk kepada peraturan Yang Maha Kuasa.

Dalam menerangkan bidang kemajuan dan percapaian hidup manusia, Abdul Rahman Hasan Habannakah, pengarang buku al-Hadarah al-Islamiyyah telah membahagikan kedua-duanya itu kepada tiga bahagian:
1. Kemajuan dan pencapaian hidup manusia mempunyai perkaitan dengan jasmani dan kemudahan-kemudahan hidup, termasuk faktor-faktor kemewahan dan keselesaan. Semua itu merangkumi jenis kemajuan seperti pertanian, perkilangan, perlombongan, perindustrian, dan lain-lain lagi.
2. Sistem yang dapat mengatur aktiviti masyarakat ke arah mewujudkan keamanan, keadilan, serta kebenaran yang dapat menegakkan disiplin dalam masyarakat seperti peraturan-peraturan pentadbiran, perundangan, harta benda, dan hal-hal keluarga. Seterusnya, ia meliputi akhlak, adat resam, amalan hidup yang baik dan seluruh tatacara pergaulan manusia di antara satu dengan yang lain.
3. Pencapaian dan kemajuan hidup juga merupakan kebahagiaan yang berkekalan dengan mengetahui hakikat diri dan alam sekitar, perpindahan ke alam barzakh. Kemudian manusia berpindah ke alam baqa, iaitu alam akhirat dengan mendapat balasan yang sempurna. Ini meliputi pemikiran yang mendalam yang dapat membawa manusia mengenal Penciptanya. Manusia dapat mengetahui di sebalik kewujudannya, matlamat hidup dan tempat kembali setelah mati, kewajipan yang mesti dilakukan dalam kehidupan dunia dan akhirat. Ini adalah juga bersangkutan dengan pegangan dan kepercayaan dalam kewajipan yang telah digariskan oleh Syariat Islam.

Ada tiga sumber yang dianggap dapat memajukan tamadun dalam proses pembangunannya, iaitu sumber wahyu atau ilham daripada Allah s.w.t yang disampaikan melalui nabi-nabi dan rasul-rasul pesuruh Allah. Apa yang dapat dilakukan melalui pemikiran hasil daripada kajian ilmiah. Apa yang diperolehi oleh manusia melalui pengalaman dan percubaan-percubaan serta pengkajian semula dengan perhatian yang mendalam daripada segi kesalahan-kesalahan dan kekurangan, dan seterusnya dengan menyempurnakan ilmu-ilmu yang telah sedia ada.

Dalam masalah ini, hanya Tamadun Islam sahaja yang melengkapi ketiga-tiga sumber ini. Kerana itu, pembangunan Tamadun Atom meliputi pembangunan tamadun rohani dan jasmani, atau apa yang disebut tamadun spiritual dan tamadun material. Berbanding dengan Tamadun Barat yang bersumberkan dua perkara sahaja dan mereka lebih menitikberatkan pembinaan tamadun yang bersifat kebendaan semata-mata.

Tamadun Islam telah merubah cara hidup dan orang Arab Jahiliah. Tamadun Islam juga telah wujud berasaskan suasana keadaan tamadun umat Arab, tempat Tamadun Islam itu lahir.

KELAHIRAN TAMADUN ISLAM
Tamadun Islam seperti yang ada sekarang ini telah mula lahir apabila lahirnya sebuah masyarakat Islam yang berkeadaan serba sederhana di Makkah pada tahun 610M, serentak dengan kelahiran agama Islam dan perlantikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Rasul Allah. Kemudian Nabi Muhammad s.a.w berpindah ke Madinah pada tahun 622-623M, di sana tertubuhnya sebuah kerajaan Islam yang dipimpin oleh baginda. Kerajaan Islam inilah yang telah menjadi pendorong dan sebab berkembangnya Tamadun Islam itu setapak demi setapak hingga terdirinya suatu tamadun yang tinggi yang telah menjadi sebab munculnya tamadun dunia moden. Sebelum lahir Tamadun Islam sudah pun ada tamadun lain seperti Tamadun Parsi, Tamadun India, Tamadun Yunani, Tamadun Mesir dan Tamadun Romawi. Orang Arab sendiri pun telah ada satu bentuk tamadun yang tidak kurang majunya. Tamadun-tamadun ini banyak sekali mempengaruhi Tamadun Islam yang baru lahir.

1.2 Konsep Tamadun Barat

Kebudayaan Barat adalah cara hidup Baral yang tidak tunduk kepada peraturan-peraturan tertentu yang berbentuk kitab yang diturunkan daripada langit dalam bentuknya yang asli dan murni. Walaupun orang Barat menganut agama Kristian tetapi kitab Injil dalam bentuknya yang asli dan murni sudah tidak kedapatan lagi pada hari ini. Pada mereka pelaksanaan agama Kristian dalam masyarakat sudah jauh menyeleweng daripada kehendak-kehendak agama Kristian yang sebenarnya.

Oleh itu, hingga dalam hal-hal agama yang berbentuk dasar pun terdapat perubahan-perubahan yang telah disesuaikan dengan apa yang terdapat dalam kebudayaan mereka seperti yang pernah digariskan oleh Edward Burnett Taylor, ahli antropologi Inggeris tentang kebudayaan. Menurut beliau, keseluruhan yang kompleks di dalam terkandung ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, dan adat istiadat.

Di sini ternyata Edward Burnett Taylor telah memasukkan "kepercayaan" sebagai teras agama adalah sebagai satu daripada ciri-ciri kebudayaan yang menerima perubahan. Berbeza dengan kebudayaan Islam yang dibentuk oleh kepercayaan, yang bererti bahawa lahirnya kebudayaan merupakan hasil daripada agama itu sendiri.

Begitu juga dengan tamadun Barat yang timbul daripada kebudayaan Barat yang telah memasukkan agama itu sebagai satu ciri tamadun seperti yang didefinisikan oleh Arnold J. Toynbee menurut beliau bahawa tamadun itu secara langsung memberi gambaran kepada fikiran kita tentang perkara yang berikut: iaitu Agama, Senibina, Senilukis, Akhlak dan Adat Istiadat. Manakala Tamadun Islam adalah satu ciri yang timbul daripada keadaan kehidupan manusia (insan) yang digelar masyarakat Islam yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang dipandu oleh kepercayaan agama Islam itu sendiri. (Abdul Rahman Nawas, dll. (1995). Tamadun Islam. Kuala Lumpur : Pustaka haji Abdul Majid)

1.3 Nilai-Nilai Universal Dalam Tamadun

Nilai-nilai universal ini memperlihatkan wujudnya persamaan antara Tamadun Islam dengan tamadun dunia yang lain. Ini bermakna, Tamadun Islam itu bukanlah sesuatu yang terlalu terasing daripada ruang lingkup ketamadunan manusia. Hal ini berlaku kerana Tamadun Islam turut mengandungi beberapa ciri yang terdapat pada tamadun-tamadun lain dan menjelaskan betapa Tamadun Islam tetap mementingkan beberapa ciri yang bersifat material tersebut namun diseimbangkan dengan ciri khusus yang menekankan aspek ruhaniah. Oleh yang demikian, sebagaimana kelaziman dalam melihat sesuatu tamadun, beberapa aspek yang disifatkan sebagai material dengan makna yang luas itu boleh dilihat dalam Tamadun Islam. Misalnya, dalam aspek urbanisasi, revolusi pertanian, pembentukan sistem pemerintahan dan pentadbiran, perkembangan perdagangan dan sebagainya. Dalam sejarah manusia, tamadun sering sahaja dilihat sebagai satu pencapaian tinggi yang mampu dicapai oleh sesuatu bangsa. Berdasarkan hal ini, maka telah wujud beberapa tamadun besar seperti Tamadun Lembah Indus, Tamadun Hwang Ho, Tamadun Mesir, Tamadun Greek, Tamadun Rom dan sebagainya. Kewujudan keseluruhan tamadun ini sebenarnya sangat bergantung kepada kebolehan bangsa pembentuk tamadun tersebut untuk memenuhi beberapa kriteria umum yang telah diletakkan oleh kalangan sarjana yang mendalami aspek ini dan sering kali kriteria ini diguna pakai dan menjadi garisan dalam melihat pembelajaran tamadun.

Antara ciri terpenting yang mendasari tamadun universal ini ialah amalan beragama, pembandaran, pengkhususan pekerjaan, inovasi teknologi dan penulisan. Edward L. Farmer dalam bukunya, 'Comparative History of Civilization in Asia', misalnya menegaskan bahawa sesuatu tamadun itu dapat ditentukan kewujudannya berdasarkan beberapa ciri, iaitu revolusi pertanian, penempatan kekal, stratifikasi sosial, amalan beragama, urbanisasi, pengkhususan pekerjaan, inovasi teknologi dan pengenalan sistem tulisan. M.A.J. Beg pula melihat aspek sejagat dalam tamadun ialah 'penyebaran teknologi pertanian dan penternakan yang mengubah tradisi kehidupan nomad dan membolehkan pembentukan satu sosiobudaya masyarakat yang baru, pengkhususan dalam masyarakat, revolusi dalam perbandaran yang menekankan aspek kemunculan bandar dan negeri, stratifikasi sosial, kewujudan sistem pengairan, teknologi tembaga dan besi serta sistem penulisan'. Sarjana lain pula menekankan salah satu ciri sebagai lebih penting daripada ciri yang lain. Misalnya, Edward Taylor menyatakan bahawa tamadun itu sangat mempunyai ikatan kuat dengan kewujudan sistem tulisan. Kalangan sarjana yang memberi penekanan besar terhadap aspek penulisan ini selanjutnya menyatakan bahawa, 'civilization cannot exist without a system of writing and a system of writing can not exist except in a civilization'.

Terdapat juga sarjana yang melihat aspek urbanisasi sebagai aspek terpenting dalam melihat sesebuah tamadun. Secara terperinci ada antara sarjana yang meletakkan bahawa sesebuah bandar harus mempunyai lebih daripada 5,000 orang penduduk, mempunyai satu sistem tulisan dan mempunyai monumen-monumen keagamaan yang penting. Penyokong pandangan ini melihat bahawa kewujudan bandar dan monumen-monumen ini memperjelas satu pencapaian yang tinggi dalam tamadun tersebut. Meskipun demikian, istilah yang digunakan bagi merujuk kepada revolusi pembandaran itu haruslah diberikan penjelasan yang lebih terperinci. Antara sarjana yang memperincikan konsep urban revolution ini ialah V. Gordon Childe dan telah menjelaskan bahawa terdapat beberapa aspek penting yang harus dilihat dalam perkara ini, iaitu perkembangan penduduk yang ekstensif, organisasi masyarakat yang tersusun termasuklah pembahagian yangjelas kepada kelas buruh, lebihan dalam pengeluaran, kewujudan monumen-monumen khusus untuk pembesar dan pemerintah, hierarki sosial yang ketara, penemuan dan pengamalan sistem penulisan, perkembangan sains dan teknologi, perkembangan aspek kesenian dan perdagangan. Kesemua kriteria ini diwujudkan sebenarnya untuk memisahkan antara masyarakat dan pencapaian yang telah berjaya dilakukan oleh sesuatu bangsa tersebut.

Tamadun Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. secara jelas turut menjadikan ciri-ciri tamadun sejagat ini sebagai satu kriteria yang penting. Malahan dalam keseluruhan Tamadun Islam sama ada di Tanah Arab mahupun di kawasan lain termasuklah di Asia Tengah, Asia Selatan, Eropah, Asia Timur mahupun di Asia Tenggara, ciri-ciri ini dapat dilihat dan dikesan dengan mudah. Malahan dipandang dari sudut Tamadun Islam, perkataan tamadun yang mempunyai beberapa terminologi lain seperti madaniyah, hadarah, umran dan tamaddun itu mempunyai pertalian yang erat dengan aspek perbandaran yang menjadi antara aspek yang boleh dilihat dalam mana-mana tamadun dunia.

Secara umum pembandaran merupakan proses kehidupan bandar atau perkara-perkara yang berkaitan dengan bandar dan kehidupan di bandar. Malah terdapat sarjana yang menyatakan bahawa kehidupan bandar ini mempunyai ciri-ciri kemakmuran dan tamadun yang berbeza dengan kehidupan di kawasan luar bandar yang lebih bersifat sederhana, statik dan primitif.

Ibn Khaldun dalam karya unggulnya, iaitu Mukadimah, misalnya menggunakan terminologi umran sebagai kata ganti bagi tamadun dan menyatakan, 'peradaban (‘umran), maksudnya ialah manusia harus menghuni di suatu tempat yang umum dan sama-sama tinggal di kota-kota dan di perkampungan untuk keselesaan beramah-tamah serta memenuhi keperluan kepuasan manusia, sesuai dengan sifat semula jadi manusia yang perlu bantu-membantu demi mencapai suatu taraf hidup (yang baik)...'. Ibn Khaldun menggunakan perkataan ini setiap kali merujuk kepada masyarakat bandar atau negeri yang dibuka dan diduduki oleh pemerintah-pemerintah Islam. Selain itu, Ibn Khaldun juga menggunakan perkataan hadharah yang dikatakan oleh E.W. Lane sebagai, 'A region, district or tract of cities or town or villages and of cultivated land'. Perkataan tamadun atau tamaddun yang berasal daripada kata Madana pula bermakna membina atau membangunkan bandar. Berdasarkan terminologi-terminologi ini, adalah jelas bahawa dalam melihat Tamadun Islam, aspek-aspek yang disenaraikan sebagai aspek sejagat itu juga berdiri sebagai aspek yang harus diberikan perhatian terutamanya aspek urbanisasi. Ini kerana adalah menjadi satu realiti sejarah bahawa masyarakat Islam dikenali sebagai masyarakat bandar dan perkara ini sangat jelas berlaku dalam melihat perkembangan Islam di benua kecil India.

Penumpuan masyarakat Islam di kawasan-kawasan bandar dan pelabuhan berkait rapat dengan peranan kalangan saudagar Islam hingga menyebabkan bandar-bandar pelabuhan seperti Dibul dan Makran di Sind, Cambay, Lothal dan lain-lain menjadi tumpuan masyarakat Islam sejak abad ke-9 dan ke-10 Masihi. Berikutan daripada penumpuan inilah, Islam kemudiannya berkembang dan merebak ke benua kecil India.

Jurzi Zaydan yang dianggap pelopor kepada penggunaan perkataan tamadun dalam karyanya yang terkenal, iaitu Al Tarikh al Tamaddun al-Islami atau Sejarah Tamadun Islam memberikan perhatian kepada beberapa aspek dalam pembentukan Tamadun Islam, iaitu pemerintahan Islam termasuklah sistem pentadbirannya, bandar-bandar Islam, stratifikasi sosial, perkembangan ilmu sains dan pendidikan, bangunan-bangunan yang mempunyai ciri Islam dan kesenian Islam sama ada muzik (musiqa) serta nyanyian atau qhina.

Aspek urbanisasi atau pembangunan bandar dilihat menjadi antara aspek penting yang diberi penekanan khusus dalam melihat keseluruhan perkembangan Tamadun Islam. Al-Quran sendiri telah menyebutkan perkataan Madinah yang bermakna bandar sebanyak beberapa kali sementara kata jamak bagi Madinah, iaitu mada'in turut disebut sebanyak tiga kali. Menurut Ahmad Zaki Hj. Abd. Latiff dalam buku “Perbandaran di Timur Tengah: Kesanya Terhadap masyarakat Islam” mengatakan, sebutan sebanyak 13 kali daripada istilah Madinah di dalam al-Quran menggambarkan beberapa bandar purba yang telah wujud sejak zaman nabi-nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad s.a.w. , misalnya bandar Memphis yang menjadi pusat pemerintahan Firaun, bandar Hijr, bandar Antioch atau Antokiyyah, kota Aikah dan sebagainya. Disebutkan juga di dalam al-Quran perihal kota Yathrib, iaitu nama lama bagi Madinah dan kota Makkah.

Pembangunan dan pertumbuhan bandar telah diterima oleh kebanyakan sarjana sebagai ramuan utama dalam melihat kelahiran Tamadun Islam. Ini menjelaskan betapa eratnya hubungan antara Tamadun Islam dengan aspek perbandaran. Dalam masa yang sama juga pembandaran telah dilihat sebagai antara penanda mudah dalam melihat sesuatu masyarakat itu telah mencapai tahap tamadun atau sebaliknya. Ira P. Lapidus menyatakan 'The study of tradisional Muslim cities touches on all aspects of Islamic civilization'. Malah kemunculan Islam di kota Makkah sebelum berkembang dan bertapak kukuh di Madinah membuktikan kenyataan bahawa Islam lahir dalam persekitaran bandar. Kota Makkah telah dikenali sejak zaman pra-Islam sebagai pusat perdagangan kabilah yang penting di Timur Tengah. Malah kepentingan dan kemasyhuran kota Makkah telah sampai hingga ke pengetahuan pedagang-pedagang Greek. Kota ini pada asalnya merupakan sebuah wadi yang menjadi kawasan laluan perdagangan antara kawasan Mediterranean dengan Tanah Arab, Afrika dan Asia Selatan. Ia terletak di antara Ma'rib di selatan dengan Petra di utara. Ptolemy menamakan kota ini sebagai Macoraba. Selain sebagai pusat perdagangan, Makkah menjadi pusat keagamaan apabila patung-patung tertentu diletakkan di sekeliling Kaabah dan sering dikunjungi oleh masyarakat Arab. Kedua-dua faktor inilah, iaitu pusat perdagangan kabilah dan keagamaan menjadikan Makkah muncul sebagai kota penting. W.M. Watt misalnya, menyatakan,
Kewujudan kota-kota Islam ini mula menjadi penting sepanjang sejarah penyebarannya. Kota Madinah menjadi kota penting dalam perkembangan Tamadun Islam malah penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun pertama hijrah (622-23 Masihi) merupakan turning-point kepada sejarah Islam. Kota Madinah telah dilengkapi dengan segala keperluan dan kemudahan bagi masyarakat Islam melaksanakan ajaran agama dan melaksanakan kehidupan harian mereka. Ini termasuklah mendirikan masjid al-Nabawi dan menyusun petempatan penduduk berasaskan kepada suku-suku yang ada di kota tersebut. Asas ini kemudiannya diikuti dalam mewujudkan bandar-bandar baru di Timur Tengah kemudiannya. Misalnya, dalam perancangan bandar Basrah, Kufah, Wasit, Fustat dan Qayrawan turut mempunyai bentuk yang sama dengan Madinah di mana masjid menjadi pusat bandar dan dikelilingi oleh kawasan-kawasan petempatan. Masjid yang terletak di pusat bandar bertindak sebagai 'pusat spiritual' sementara subjek-subjek di sekelilingnya seperti bazar, kawasan petempatan dan sebagainya menjadi lambang kehidupan dunia. Kedudukan yang berdekatan memberi makna bahawa keseimbangan antara kepentingan dunia dengan akhirat itu menjadi teras dalam kehidupan masyarakat Islam dan seterusnya teras Tamadun Islam. Pasar atau bazar yang didirikan di persekitaran masjid menjadi pusat penting dalam perkembangan ekonomi dan perniagaan dalam Tamadun Islam. Sewaktu pemerintahan Islam di India, bazar yang mempunyai harga tetap dan pasar-pasar kecil yang dikenali sebagai qasbah menjadi 'landmarks' yang penting serta ia diwujudkan di seluruh utara India.

Lebih penting lagi, kemunculan bandar-bandar Islam ini telah berjaya mengembangkan sinar Islam ke daerah-daerah sekitar termasuklah kawasan- kawasan pedalaman yang masyarakatnya mempunyai ikatan tertentu sama ada ekonomi dan sebagainya dengan kawasan bandar. Tanpa kehadiran bandar-bandar seperti ini akan menyebabkan Tamadun Islam itu berada dalam keadaan jumud dan tidak berkembang. Ibn Khaldun misalnya, menyatakan bahawa bandar-bandar merupakan kawasan petempatan dan kawasan perlindungan masyarakat.

Segala kemudahan di bandar akan membantu masyarakat tersebut mencapai keselesaan dan membantu kepada pencapaian-pencapaian cemerlang masyarakat. Dilihat dari sudut ini, kepentingan bandar itu adalah sangat penting bagi masyarakat yang bertamadun dan segala keperluan dalam kehidupan masyarakat tersebut mampu disalurkan oleh bandar tersebut. Al-Bustani mengatakan bahawa orang yang bertamadun ialah orang yang tinggal menetap di bandar yang sudah tentu kehidupannya berbeza dengan masyarakat yang hidup secara berpindah randah atau al-Badawah.

Ini bermakna bahawa banar dalam Tamadun Islam merupakan pusat perubahan yang menjadi pemangkin kepada pencapaian-pencapaian cemerlang dalam tamadun tersebut. Besim Salim Hakim menyatakan bahawa bandar-bandar Islam dapat dikenali kerana ia dilengkapi dengan segala kemudahan termasuklah beberapa elemen asas, iaitu masjid, kawasan petempatan pemerintah, qasbah atau kota berkubu, rabad atau pinggir kota, sur atau dinding kota, bab atau pintu kota, burj atau kubu pertahanan, shari' atau toriq nafiq, iaitu jalan raya, bataha atau tempat awam, musalla atau tempat solat, maqbarah atau kawasan perkuburan, khazzan atau tempat menyimpan air, khandaq atau parit yang mengelilingi kota dan muhalla atau kawasan petempatan penduduk.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. , secara umumnya Islam telah berkembang dengan pesat ke seluruh jazirah Tanah Arab. Di setiap sudut perkembangan Islam, bandar-bandar baru telah diwujudkan seperti Baghdad dan Samarra atau dikembangkan berdasarkan bandar yang telah sedia ada seperti Damascus. Malahan sepanjang pemerintahan kerajaan Abbasiah dan Umayyah, bandar-bandar ini bukan sahaja menjadi pusat pentadbiran malah turut berkembang sebagai pusat perkembangan Tamadun Islam secara keseluruhannya. Bandar Kufah misalnya, bukan sahaja penting sebagai ibu negara sejak zaman Saidina Ali bin Abi Talib malah turut bertindak sebagai pusat perkembangan ilmu dan kebudayaan Islam. Terdapat juga bandar-bandar yang mempunyai kepentingan strategik dan ketenteraan seperti bandar Qairawan di Tunisia yang dibina pada tahun 607 Masihi dan bandar Fustat di Mesir yang dibina pada tahun 642 Masihi oleh Amr ibn al-As. Bandar ini dikelilingi oleh tembok untuk tujuan pertahanan dan melindungi penghuninya daripada ancaman ribut pasir.

Berdasarkan kepada hakikat ini, kewujudan sesebuah bandar dalam Tamadun Islam bukan sekadar melambangkan sifatnya sebagai masyarakat urban itu dikekalkan malah ia mempunyai kepentingan dan peranan yang cukup besar. Bandar-bandar ini bertanggungjawab sebagai pusat pentadbiran, pusat pengembangan ilmu pengetahuan, pusat perkembangan kebudayaan Islam, pusat ekonomi dan penumpuan masyarakat. Kota Baghdad mula dibina pada tahun 146 Hijrah atau 763 Masihi dan siap pada tahun 149 Hijrah atau 766 Masihi dan menjadi ibu kota bagi pemerintahan Islam Abbasiah yang menggunakan lebih daripada 100,000 orang tenaga buruh bagi menyiapkannya. Kota ini dibina di kawasan seluas 7,000 hektar dan dilengkapi dengan tembok-tembok kukuh sebagai pertahanan daripada serangan musuh. Ia juga mempunyai sistem petempatan penduduk yang teratur dan disusun di sekitar Masjid al-Jami' yang menjadi pusat bagi kota Baghdad.

Bagi pemerintahan Islam Umayyah pula, kota Damascus telah dijadikan ibu kota pemerintahan mereka. Kota ini dilengkapi dengan istana yang dikenali sebagai Qubbat al-Khandra atau Istana Berkubah Hijau, rumah-rumah pembesar yang dikenali sebagai dar-al-imarah, masjid besar yang dikenali sebagai Jami'' al-Umawi telah dibina pada zaman pemerintahan al-Walid ibn Malik antara 705-715 Masihi yang menjadi simbol penggabungan kepakaran dan kesenian Arab serta Byzantine.

Dalam melihat sejarah perkembangan Islam, salah satu perkara asas yang sering sahaja diberi perhatian ialah peranan kalangan saudagar dan pedagang. Aktiviti perdagangan mereka telah membolehkan agama Islam disebarkan hingga menjangkau kawasan-kawasan di luar jazirah TanahArab. Hubungan perdagangan antara pedagang-pedagang Islam dengan pelabuhan-pelabuhan di India, Asia Tenggara dan di Negara China membuktikan hakikat ini. Malah beberapa pelabuhan yang sering didatangi oleh pedagang-pedagang India kemudiannya menjadi pusat kepada perkembangan Tamadun Islam di kawasan tersebut, misalnya Canton di Negara China, Melaka dan pelabuhan Malabar serta Bengal di India.

Secara umum, pedagang-pedagang Islam memberi tumpuan kepada kota-kota pelabuhan yang telah sedia wujud. Pengaruh mereka yang semakin mendalam dan usaha penyebaran Islam menyebabkan Islam kemudiannya mampu menarik perhatian masyarakat tempatan hingga membolehkan ia muncul sebagai kuasa yang penting. Secara beransur-ansur mereka diberi kepercayaan untuk terbabit dalam pentadbiran kerajaan. Ini bermakna sebagai sebuah tamadun yang berkembang dalam persekitaran bandar ia akan menarik minat masyarakat di kawasan tersebut. Dengan kata lain, Islam berkembang dari kawasan bandar sebelum tersebar ke kawasan-kawasan luar bandar. Kepentingan bandar sebagai medium penyebaran Islam yang penting telah menyebabkan pemerintah-pemerintah Islam di India mendirikan kota-kota tertentu.

Zaman Mughal merupakan zaman gemilang dalam Tamadun Islam di India malah penumpuan terhadap penubuhan bandar sangat jelas kelihatan pada masa itu. Pemerintah Mughal terutamanya Akhbar (1556-1605) dan Shah Jahan (1628-58) merupakan pemimpin yang mempunyai tanggungjawab besar dalam mengembangkan aspek ini. Perkembangan dan kewujudan bandar-bandar baru semasa zaman Mughal ini mempunyai perkaitan rapat dengan beberapa pencapaian tamadun yang lain termasuklah aspek seni bina, perancangan bandar dan perkembangan ekonomi.

Bandar-bandar seperti Shahjahanbad atau dikenali juga sebagai Delhi Lama, Agra, Fatehpur Sikri dan sebagainya melambangkan pencapaian gemilang Tamadun Islam di India. Bandar Shahjahanbad didirikan di kawasan seluas 5,000 hektar dan semasa zaman Aurangzeb pada abad ke-17, ia mempunyai 60,000 orang penduduk. Kota ini menjadi begitu penting malah terdapat pepatah lama yang menyebut, 'He who rules Delhi, rules India'. Kota ini dibina dengan lengkap sebagai pusat pemerintahan, ekonomi dan kebudayaan zaman Mughal.

Shah Jahan telah membina masjid Jamik pada tahun 1644. Ia terletak di tengah-tengah bandar ini. Bentuk dan reka corak yang menghiasi masjid ini melambangkan kewujudan sebuah tamadun yang cemerlang. Fatehpur Sikri pula merupakan bandar yang didirikan oleh Maharaja Akhbar dan dimulakan pembinaannya pada tahun 1569. Ia hanya siap pada tahun 1574. Sebuah masjid juga didirikan di tengah-tengah bandar ini. Walau bagaimanapun, bandar ini kemudiannya ditinggalkan oleh Akhbar pada tahun 1585 kerana berbagai-bagai masalah termasuklah bekalan air dan cuaca yang dikatakan terlalu panas.

Aspek perbandaran ini turut menjadi perkara penting dalam melihat kewujudan Tamadun Islam di Asia Tenggara. Sebenarnya sejarah pembangunan bandar di Asia Tenggara telah pun berlaku sejak zaman pra-Islam lagi. Kehadiran Islam turut mengikuti corak yang telah sedia ada tersebut, namun dengan semangat yang berbeza, iaitu lebih kepada roh dan semangat Islam. Ini semua dapat dilihat dalam pembangunan bandar-bandar seperti Melaka yang dianggap sebagai bandar Melayu pertama menjadi bandar Islam di Semenanjung Malaysia, Demak, Acheh, Brunei dan sebagainya. Kebesaran dan kepentingan bandar Melaka dapat dilihat berdasarkan ungkapan Tome Pires dalam bukunya Suma Oriental yang menyatakan bahawa masyarakat Melaka menggunakan sebanyak 80 bahasa dan kenyataan ini menggambarkan betapa Melaka merupakan sebuah bandar yang besar. Malahan Mahayudin Haji Yahaya dalam bukunya “Islam di Alam Melayu” tanpa ragu-ragu menegaskan bahawa bandar Melaka pada abad ke-16 dikategorikan sebagai sebuah bandar metropolitan kerana jumlah penduduknya yang besar dan dianggarkan jumlah penduduk Melaka mencapai 90,000 orang pada tahun 1511.

Salah satu ciri universal dalam melihat tamadun ialah perkembangan dalam bidang ekonomi. Sektor pertanian mengalami revolusi yang tidak pernah berlaku sebelumnya dalam masyarakat tersebut. Ini diikuti dengan berbagai-bagai sektor perekonomian yang lain termasuklah perdagangan, penternakan dan sebagainya. Revolusi pertanian dalam masyarakat yang bertamadun menandakan berakhirnya aktiviti secara nomad dan kini bertumpu kepada pertanian secara menetap.

Usaha pertanian secara menetap ini memungkinkan perubahan dan inovasi dapat dilakukan bagi memajukan bidang pertanian. Keadaan ini sebenarnya tidak jauh berbeza dengan aspek perbandaran. Ini kerana masyarakat bandar akan mempunyai kesempatan melakukan berbagai-bagai rupa bentuk inovasi dan perubahan dalam aktiviti mereka berbanding dengan masyarakat yang hidup secara nomad. Sektor pertanian dilihat menjadi asas penting dalam kehidupan sesuatu tamadun kerana ia menjadi sumber asas kepada pembekalan makanan penduduk. Tanpa keperluan asas ini, adalah amat sukar untuk sesuatu masyarakat mencapai kejayaan-kejayaan lain dalam kehidupan mereka.

Menyedari kepentingan inilah, Ibn Khaldun, misalnya mengatakan bahawa sektor ini menjadi syarat kepada keberlangsungan tamadun. Perkembangan Tamadun Islam yang melewati rantau jazirah Tanah Arab hingga ke Eropah, Afrika dan Asia secara langsung turut menyebarkan elemen-elemen dalam Tamadun Islam. Asas Tamadun Islam yang dibawa dari Timur Tengah itu telah disesuaikan pula dengan beberapa keadaan tempatan. Ini dapat dilihat dalam aspek perkembangan pertanian sebagaimana yang berlaku diAndalus (Sepanyol).

Meskipun sebelum kedatangan Islam ke Andalus, aktiviti pertanian telah berlangsung namun ia menjadi begitu pesat sewaktu zaman pemerintahan Islam. Antara kawasan pertanian yang penting ialah Saragossa, Malaga, Lorca dan sebagainya. Masyarakat keturunan Arab yang datang ke Andalusia sejajar dengan perkembangan Islam dikatakan sebagai kalangan yang rajin mengerjakan tanah mereka. Malahan mereka dianggap sebagai pakar dalam bidang pertanian dan menjalankan aktiviti ini dengan menggunakan teknologi moden dan saintifik. Antaranya termasuklah menggunakan alatan baru untuk meratakan kawasan tinggi dan menggunakan baja untuk menambahkan kesuburan tanah.

Salah satu perkara yang dipentingkan dalam menjalankan aktiviti pertanian ini di Andalus ialah penggunaan sistem pengairan yang moden dan sistematik. Menyedari hakikat bahawa Andalus mengalami masalah bekalan air, maka berbagai-bagai teknik untuk mengairi kawasan pertanian telah dilakukan termasuklah dengan menggunakan perigi yang digali atau menggunakan air sungai. Sebelum perigi dapat digali, kajian topografi dalam menentukan kesesuaian kawasan dilakukan. Untuk menimba air dari perigi, orang-orang Islam menggunakan sebuah roda air yang berasal dari Parsi dan dikenali sebagai Na'urah. Selain perigi, terusan air juga dibina dan ia bukan sahaja untuk keperluan pertanian malah turut membekalkan air ke bandar-bandar diAndalus.

Penekanan Tamadun Islam dalam aspek pertanian ini turut dicerminkan melalui pengetahuan masyarakat Islam Andalus mengenai teknik mengawetkan makanan. Buah-buahan seperti anggur, ceri dan sebagainya boleh disimpan selama beberapa tahun tanpa kehilangan rasanya malah Ibn al-Awwam, iaitu seorang ahli botani telah menulis mengenai cara-cara mengawet jagung, buah-buahan dan minyak zaitun. Kehadiran Islam turut membawa beberapa jenis tanaman yang sebelumnya tidak ditanam oleh petani-petani di Andalus. Antaranya termasuklah padi atau dalam bahasaArab dikenali sebagai aruzz yang mula ditanam di Andalus pada abad ke-10, buah delima atau dalam bahasa Arab dikenali sebagai rumman, limau yang dibawa dari India, pisang yang dibawa pada abad ke-10 dan kunyit yang disebut sebagai azfran dalam bahasa Andalus.

Gabungan antara kekayaan tanah pertanian, perdagangan dan sektor perekonomian yang lain menjadi asas kepada kekuatan Tamadun Islam. Pemerintahan Abbasiah, misalnya telah berusaha untuk mewujudkan satu persekitaran yang mantap di daerah-daerah terpencil agar bidang pertanian menjadi makmur dan secara langsung turut memakmurkan kerajaan serta Tamadun Islam keseluruhannya. Aspek pertanian sangat dibantu oleh pembinaan tali air terutama di kawasan-kawasan yang mengalami masalah kekurangan air. Sistem pemilikan tanah yang berkembang pada akhir abad ke-10 terdiri daripada empat jenis hartanah, iaitu hartanah yang dimiliki oleh pemerintah, tanah anugerah yang juga disebut sebagai iqta dalam bahasaArab, tanah persendirian dan tanah untuk tujuan keagamaan atau waqf atau habus. Dalam melihat perkembangan sektor pertanian dan kepenggunaan tanah, maka institusi waqf harus diberi perhatian yang mendalam. Institusi ini memainkan peranan yang sangat penting dalam Tamadun Islam. Tanah jenis ini menjadi asas kepada pembinaan masjid, sekolah, hospital dan sebagainya. Kepentingan tanah wakaf dalam sistem ekonomi Islam dapat diperjelaskan seperti berikut: Kita (Islam) sebenarnya mempunyai satu sumber harta yang amat berpotensi, dan sekiranya dirancang dan dibangunkan secara teliti dan ikhlas, mampu menyelesaikan atau sekurang-kurangnya mengurangkan permasalahan sosioekonomi dan pembangunan ummah, selaras dengan tuntutan-tuntutan agama Islam yang maha suci.

Selain sektor pertanian, sesuatu tamadun itu turut ditentukan garisnya berdasarkan aktiviti komersil terutamanya perdagangan. Pedagang-pedagang Islam menjalankan aktiviti mereka meliputi kawasan Asia Barat, Eropah dan Asia. Antara barangan yang diperdagangkan termasuklah kain, barangan besi, tembikar, permaidani, minyak wangi dan barangan kulit. Pasar atau bazar menjadi pusat penjualan yang penting di mana bangunan-bangunan kedai atau wikala didirikan untuk memudahkan urusan tersebut. Satu sistem yang teratur dilakukan agar segala urusan jual-beli dapat dilakukan dengan lancar. Setiap barangan didaftarkan, disimpan dan cukai kastam ditaksir. Tempat tinggal pedagang dari luar juga disediakan. Lebih penting lagi, sektor perdagangan ini dapat berkembang pesat kerana kemampuan kerajaan-kerajaan Islam mengawal dan mendominasi perdagangan lautan dan daratan. Kerajaan Abbasiah, misalnya dilihat bersifat kedaratan sementara kerajaan Fatimiah dan Mamluk membina angkatan laut untuk mengawal perdagangan di lautan.

Dalam masa yang sama, struktur ekonomi yang wujud dalam Tamadun Islam mi "sebenarnya membawa keuntungan bukan sekadar dari sudut perolehan pendapatan yang dibayangkan melalui wang ringgit, perdagangan dan sebagainya, malah ia turut memberi keuntungan dari sudut yang lain. Misalnya, dalam aspek membiayai segala bentuk kemudahan yang ada dalam kerajaan tersebut. Berlandaskan kepada konsep kebajikan masyarakat menyebabkan orang perseorangan yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang ekonomi akan memberikan bantuan untuk pembinaan sekolah, hospital, tempat penginapan pedagang, aktiviti pengembangan agama dan menyokong kegiatan intelektual Islam.

Di tinjau dari sudut yang lain, terlihat satu perkaitan yang erat antara perkembangan ekonomi dengan kepesatan perkembangan bandar. Ini kerana di kawasan bandar berbagai-bagai aktiviti ekonomi dapat dilaksanakan dengan berkesan hasil daripada terdapatnya berbagai bentuk peralatan termasuklah alat-alat pertanian bagi kaum tani memajukan usaha pertanian mereka. Malahan penduduk luar bandar, misalnya tidak mempunyai mata wang sendiri bagi keperluan jual beli yang mana kesemua kemudahan ini hanya diperoleh di kawasan bandar. Walau bagaimanapun, sewaktu perkembangan ekonomi dilihat begitu menekankan kawasan bandar, kawasan luar bandar tetap mempunyai peranan yang besar kerana segala kemewahan di bandar tersebut tidak akan dapat dicapai tanpa adanya daya usaha kaum tani dalam mewujudkan keperluan asasi kehidupan di bandar.

Perkaitan antara sektor perdagangan dengan perbandaran ini secara jelas dapat dilihat di Andalus. Bandar-bandar seperti Seville, Tortosa, Toledo dan sebagainya telah menjadi pusat perdagangan yang penting. Dalam masa yang sama Andalus menjalin hubungan dagangan dengan Itali, Morocco, Mesir, Yunani, Syria, Afrika Tengah, India dan Negara China. Dalam menentukan agar aktiviti perdagangan dapat berjalan dengan keadaan teratur, maka sebuah kawasan yang di kenali sebagai al-Qaysariyah telah didirikan yang dilengkapi dengan segala kemudahan termasuklah dikawal sepanjang masa untuk mengelakkan sebarang masalah. Pasar-pasar yang menjual barangan pula dikenali dengan berbagai-bagai jenis seperti funduq yang menjual barang-barang harian, alcaiceria atau pasar awam dan suq atau pasar-pasar kecil. Bagi mengelakkan sebarang penipuan, pemerintah Islam di Andalus telah mewujudkan institusi yang dikenali sebagai muhtasib. Ia bertanggungjawab menentukan harga bagi setiap barangan dan sistem ini diteruskan setelah zaman kekuasaan Islam berakhir di Andalus.

Penyusunan sistem ekonomi Islam yang menjadi antara pengisi penting dalam keseluruhan Tamadun Islam itu turut dipaparkan melalui kewujudan Baitulmal yang bertindak sebagai pusat pengumpulan dan pengagihan pendapatan negara. Meskipun institusi ini telah wujud sejak zaman awal kemunculan Islam, namun kerana belanjawan negara sewaktu itu lebih bersifat sederhana dan tidak rumit pengurusannya, maka kepentingannya adalah minimum. Kedudukan Baitulmal dalam konteks perkembangan ekonomi Islam berubah semasa zaman Umar ibnu al-Khattab menjadi khalifah. Perubahan ini berlaku kerana perkembangan Islam yang pesat hingga berbagai-bagai masalah pentadbiran mula menjelma dan memerlukan satu sistem yang lebih tersusun. Maka, sebuah dewan atau jabatan perbendaharaan diputuskan bagi mengawal urusan pentadbiran ke atas segala harta kerajaan dan secara rasmi kemudiannya dikenali sebagai Baitulmal. Ini bermakna Umar ibnu al-Khattab telah bertanggungjawab meletakkan asas penyelarasan pentadbiran dan penggunaan harta awam.

Perkembangan Islam kemudiannya membolehkan institusi ini turut berkembang. Institusi ini diperkukuhkan pada zaman al-Mahdi semasa pemerintahan Abbasiah, sebuah jabatan baru, iaitu Jabatan Akauntan Negara atau al-Zimam ditubuhkan dengan tujuan mengawal akaun setiap jabatan mengenai basil pendapatan dan perbelanjaan negara. Struktur yang sebegini diikuti oleh pemerintah-pemerintah Islam kemudiannya. Berdasarkan perkara ini, Tamadun Islam sangat menitikberatkan soal ekonomi dan kewangan. Bukan sekadar aktiviti pertanian dan perdagangan dipentingkan malahan aspek dalaman sesuatu ekonomi itu turut diambil kira termasuklah soal pembahagian harta, kebajikan rakyat dan sebagainya. Secara jelas kekayaan yang diperoleh oleh sesuatu pemerintahan dalam keseluruhan Tamadun Islam itu bukan sekadar diperlihatkan dalam aspek-aspek fizikal seperti pembinaan tali air, pembinaan kapal-kapal dagang, malah turut membabitkan soal-soal 'dalaman' seperti kebajikan rakyat dan sebagainya. Hal ini jelas apabila persoalan zakat dibangkitkan kerana antara lain ia bertujuan untuk menyucikan din dan membantu saudara seagama yang tidak mampu. Ikatan ukhwah Islamiah inilah yang menjadikan Tamadun Islam itu cukup unik berbanding tamadun-tamadun lain.

Satu lagi aspek universal yang sering sahaja menjadi penanda kepada kewujudan tamadun adalah kewujudan satu sistem tulisan yang memancarkan erti bagi tamadun tersebut. Merujuk kepada tamadun-tamadun lain seperti Tamadun China, secara jelas dikatakan bahawa ia mempunyai satu sistem tulisan yang tersusun dan keadaan yang sama dilihat pada Tamadun Mesir, Lembah Indus, Greek, Rom dan sebagainya. Ciri ini sebenarnya tidak terkecuali dalam Tamadun Islam. Agama Islam yang bermula di Makkah menjadikan bahasa Arab sebagai medium utama dan sekali gus menjadikan tulisan Arab sebagai tulisan yang penting dalam perkembangan Tamadun Islam. Bahasa dan tulisan ini dianggap sebagai bahasa dan tulisan pilihan sebagaimana yang dibuktikan di dalam al-Quran. Sebenarnya masyarakat Arab pra-Islam yang menduduki kawasan-kawasan bandar telah pun mempunyai tradisi membaca' dan menulis. Bagaimanapun ia masih bersifat terhad dan tidak meluas berbanding tradisi lisan. Pengetahuan ini diperoleh daripada kewujudan satu sistem pendidikan. Kanak-kanak akan diajar membaca dan menulis di sekolah-sekolah permulaan. Pada tahap ini, bentuk-bentuk penulisan masih lagi berasaskan kepada gambar yang melambangkan dan mempunyai maksud yang tertentu. Asas ini kemudiannya berkembang sejajar dengan penguasaan kanak-kanak tersebut. Akhirnya menjelang usia remaja, kanak-kanak ini telah mampu untuk membaca dan menulis dengan baik hingga melahirkan penghasilan-penghasilan kesusasteraan yang bermutu tinggi.

Sebelum perkembangan agama Islam, tulisan Arab adalah berbentuk persegi atau dikenali sebagai al-murabba. Kehadiran agama Islam menjadikan bidang penulisan bahasa Arab berkembang dan tulisan yang dikenali sebagai kufi, mula menjadi penting. la dimantapkan apabila dijadikan bahasa al-Quran. Malahan secara keseluruhannya, Tamadun Islam sangat menekankan aspek penulisan dan pembacaan ini sebagaimana ayat pertama yang diturunkan, iaitu 'iqra' atau 'bacalah'. Oleh sebab peranannya sebagai bahasa al-Quran, maka satu sistem tulisan yang sistematik telah disusun terutama untuk memudahkan kalangan bukan Arab menguasai bahasa tersebut. Bagi mencapai matlamat tersebut, maka diwujudkan tanda-tanda bacaan/bunyi, iaitu fathah, dommah dan kasrah. Sepanjang Tamadun Islam, terdapat juga beberapa perubahan dalam tulisan ini. Misalnya, semasa zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan, setelah mendapati bahawa tanda-tanda bacaan/bunyi yang asal dalam bentuk titik masih menimbulkan masalah kepada kalangan bukan Arab, maka ia ditukar dalam bentuk garis dan dilengkapkan dengan diletakkan tanda shaddah.

Secara langsung, kedatangan agama Islam telah mengubah tradisi meluas masyarakat Arab yang sebelumnya begitu menekankan tradisi lisan kepada tradisi tulisan. Perubahan dan perkembangan ini berlaku begitu pantas, sesuai dengan perkembangan yang berlaku terhadap Islam itu sendiri. Pada tempoh ini, bahasa dan tulisan Arab memainkan peranan penting dalam perkembangan Tamadun Islam. Malah keadaan ini begitu nyata sekali sewaktu zaman Umayyah. Hal ini berlaku kerana perkembangan dan penyebaran agama Islam turut membawa bahasa dan tulisan ini bersamanya.

Masyarakat tempatan yang menerima agama Islam akan terdedah kepada aspek ini terutamanya kerana ia dijadikan bahasa al-Quran. Selain itu, tulisan Arab juga merupakan sejenis tulisan yang elastik, fleksibel dan berirama sehingga mudah diterima dan dipelajari oleh masyarakat bukan Arab. Setiap huruf mengandungi nilai keindahan gaya, estetika yang dapat digubah dengan mudah. Secara langsung masyarakat di luar Tanah Arab yang baru sahaja memeluk agama Islam akan terdedah kepada bahasa dan tulisan ini. Masyarakat ini akan mengasimilasikan gaya bahasa Arab dan mengambil tulisan Arab sebagai tulisan bahasa sendiri.

Penyesuaian fonetik bahasa dan huruf-huruf Arab dilakukan sebagaimana yang berlaku di kalangan masyarakat Melayu yang menggunakan tulisan jawi, masyarakat Islam di India yang menggunakan bahasa dan tulisan Urdu dan Turki yang telah menggunakan daya cipta masing-masing untuk menghasilkan huruf-huruf baru mengikut gaya bentuk huruf Arab. Bahasa Arab juga mempunyai keluasan bidang terutama dari segi asal usul perkataan yang merangkumi semua aspek yang terdapat di dalam bahasa-bahasa Samiyah yang lain seperti bahasa Ibrani dan Siryani. Ia juga mempunyai berbagai-bagai jenis perkataan, kata nama, kata kerja dan pecahannya serta kata-kata lain yang jarang terdapat di dalam bahasa-bahasa lain di dunia.

Kedatangan agama Islam di alam Melayu, misalnya telah menyebabkan berlaku transformasi dalam masyarakat yang sebelumnya begitu terikat dengan budaya Hindu-Buddha-Animisme termasuklah dalam soal tulisan. Masyarakat Melayu yang memeluk agama Islam telah menerima abjad dan tulisan Arab sebagai sebahagian daripada anutan agama baru tersebut.

Selain huruf-huruf Arab, iaitu jim, 'ayn, fa, kaf dan nun, beberapa huruf baru telah dicipta bagi menandakan bunyi-bunyi lazim yang ada pada masyarakat Melayu, iaitu cha, nga, pa, ga dan nya. Berdasarkan kepada hal ini, huruf-huruf jawi itu boleh mewakili secara total fonem, mofem dan makhraj atau tempat keluar kalimah- kalimahArab yang sering digunakan dalam bahasa Melayu dan mampu mengatasi sebarang kesalahan dalam menyebut dan membunyikan kalimah Arab yang diasimilasikan ke dalam bahasa Melayu tersebut.

Secara langsung juga perkara ini menjelaskan betapa Tamadun Islam bukan sahaja menekankan aspek bahasa dan tulisan sebagai medium penyebaran tamadun malah lebih penting lagi ia menjadi asas kepada penciptaan tulisan dan abjad-abjad baru yang berasaskan kepada abjad dan tulisan Arab sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat Melayu di Asia Tenggara. (Azhar Hj. Mad Aros, 2003).

1.4 Interaksi Antara Tamadun

1.4.1 Pengenalan

Setiap tamadun yang muncul mempunyai sifat-sifat, pencapaian-pencapaian dan keunikan yang tersendiri. Namun demikian, ia tidak bermakna sesebuah tamadun itu tertutup dan tidak menerima pengaruh luar sebaliknya terdapat interaksi yang berlaku antara tamadun. Interaksi antara tamadun ini berlaku di peringkat nilai, idea, institusi dan insan. Ia berlaku sepanjang sejarah. Interaksi ini melahirkan kesan-kesan positif dan negatif. Interaksi antara tamadun berlaku melalui proses yang tertentu dan juga dengan pelbagai cara yang berbeza.

Interaksi antara tamadun ini terjadi kerana wujudnya sifat toleransi yang tinggi dan sikap saling menghormati antara sesebuah tamadun dengan tamadun yang lain. Sifat terbuka sesebuah tamadun ini memberi peluang kepada berlakunya percambahan pemikiran dan budaya serta memperkayakan lagi tamadun tersebut dalam pelbagai aspek. Hal ini dapat mengelakkan sesebuah tamadun itu daripada menjadi beku dan jumud yang akhirnya boleh meruntuhkannya. Proses interaksi antara tamadun berlaku disebabkan pelbagai faktor. Interaksi antara tamadun memberikan dua kesan yang penting, iaitu kesan positif dan kesan negatif.

1.4.2 Kesan Positif
Interaksi antara Tamadun Islam, Yahudi dan Kristian semasa zaman kemunculan Islam di Tanah Arab telah memberi beberapa kesan positif. Dalam Perlembagaan Madinah (Sahifah Madinah) yang digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w., di Madinah hak-hak orang Kristian dan Yahudi serta penganut-penganut agama lain telah diberi perlindungan.

Mereka telah diberi kebebasan mengamalkan tuntutan agama mereka tanpa sebarang gangguan baik daripada Nabi Muhammad s.a.w. ataupun umat Islam yang lain. Hal yang sama telah diikuti oleh pemerintah-pemerintah Islam zaman Khulafa al-Rasyidin, Bani Umayyah, Abbasiah, Uthmaniah dan kerajaan-kerajaan Islam di India. Malah dalam beberapa buah kerajaan Islam, individu-individu Yahudi dan Kristian telah mendapat kedudukan tinggi dalam pentadbiran, contohnya dalam kerajaan Abbasiah, tokoh-tokoh intelektual Yahudi dan Kristian telah memberikan sumbangan mereka dalam penterjemahan buku-buku Greek ke dalam bahasa Arab.

Begitu juga di Andalusia (Sepanyol), muncul ramai penulis dan ahli intelektual daripada kalangan individu-individu Yahudi dan Kristian. Interaksi antara Tamadun India dengan Tamadun China telah memberi kesan positif kepada kedua-dua tamadun. Agama Buddha disebarkan ke Negara China melalui interaksi ini. Di samping itu, terdapat kemahiran-kemahiran lain yang diperkembangkan, contohnya teknologi membuat gula daripada tebu dari India telah diperkembangkan kepada orang-orang China. Bidang astronomi India turut diperkembangkan di Negara China oleh ahli-ahli astronomi India.

Beberapa perbendaharaan kata bahasa Pali dan Sanskrit turut mempengaruhi kesusasteraan China. Kesan positif kepada Tamadun India ialah berkembangnya teknologi membuat kertas, bahan letupan dan penggunaan kompas dari Tamadun China ke dalam Tamadun India. Interaksi antara Tamadun India dengan China berlaku secara aman melalui hubungan perdagangan dan keagamaan.

Antara interaksi Tamadun Islam dengan China yang turut memperlihatkan kesan positif ialah proses interaksi secara aman, iaitu melalui perdagangan. Pedagang-pedagang Arab dan Parsi memainkan peranan penting dalam interaksi ini. Hasil daripada interaksi ini terdapat komuniti Arab-Islam yang menetap di Negara China.

Berlaku perkahwinan campur antara pedagang-pedagang ini dengan wanita-wanita tempatan. Semasa zaman pemerintahan dinasti-dinasti Tang, Sung, Yuan dan Ming, telah muncul beberapa orang tokoh Islam yang memainkan peranan penting dalam pentadbiran.

Kesan penting yang terhasil daripada interaksi ini ialah penyebaran agama Islam di Negara China yang akhirnya mewujudkan komuniti Islam tempatan Cina. Perkembangan seterusnya menyebabkan munculnya cendekiawan-cendekiawan Islam tempatan yang mashyur seperti Liu Zhi dan Mha Zhu. Cendekiawan-cendekiawan tempatan ini telah mencari keselarian ajaran-ajaran etika dan nilai Islam dengan Konfusianisme. Konsep-konsep hubungan keluarga, ketaatan kepada kedua ibu bapa dan raja dan nilai-nilai moral yang terdapat dalam ajaran Konfusianisme telah dijadikan landasan untuk memperkenalkan agama Islam kepada masyarakat Cina. Kesejajaran inilah yang menyebabkan ajaran Islam tidak mendapat tentangan daripada ahli-ahli falsafah Konfusianisme seperti yang dihadapi oleh ajaran agama Buddha. Di samping itu, interaksi ini turut menemukan senibina Arab-Islam dengan seni bina China, contohnya dalam bentuk masjid-masjid di China hari ini.

Hubungan antara Tamadun Islam dengan Tamadun Melayu telah meninggalkan kesan yang amat ketara. Interaksi antara kedua-dua tamadun ini berlaku secara aman, iaitu melalui perdagangan. Namun demikian kedatangan pengaruh Islam di Asia Tenggara ataupun khususnya ke Kepulauan Melayu dikatakan dari tiga kawasan yang berbeza, iaitu dariArab dan Parsi, dari India dan Negara China.

Teori-teori ini telah diperbincangkan dengan hangat dan beberapa bukti yang berkaitan telah dikemukakan oleh pendokong-pendokongnya bagi menyokong pendapat mereka. Namun apa yang lebih penting ialah kesan yang didapati daripada hubungan ini. Interaksi antara Tamadun Islam dengan Tamadun Melayu telah melahirkan beberapa kesan positif yang penting.

Kesan yang paling menonjol ialah tersebarnya agama Islam di Kepulauan Melayu serta munculnya kerajaan-kerajaan Islam tempatan di Pasai, Melaka, Acheh, Johor-Riau, Brunei, Pattani, Sulu, Banten, Demak, Tuban, Mataram dan lain-lain lagi. Tamadun Islam telah mengubah pandangan hidup orang-orang Melayu. Ia juga turut membawa tulisan Jawi yang berperanan penting dalam perkembangan ilmu pengetahuan di Kepulauan Melayu. Kesan positif boleh juga dilihat pengaruhnya dari segi perundangan, kesusasteraan, kesenian, kebendaan seperti pakaian, makanan dan istilah-istilah Arab yang digunakan dalam bahasa Melayu.

Interaksi antara Tamadun China dengan Tamadun Melayu turut melahirkan kesan positif tetapi ia tidak melibatkan pemikiran dan falsafah sebaliknya melibatkan kemahiran dan teknologi serta kebendaan. Tamadun China membawa teknologi membuat gula daripada tebu ke Kepulauan Melayu, contohnya di Jawa. Begitu juga kemahiran dalam perusahaan sutera, membuat tembikar serta pertukangan logam. Di samping itu, terdapat juga beberapa jenis makanan masyarakat Cina yang diperkenalkan kepada masyarakat Melayu seperti tauhu, kicap, taugeh dan sebagainya.

Interaksi antara Tamadun China dengan Tamadun Melayu berlaku melalui dua cara, iaitu secara aman dan secara konflik peperangan. Interaksi secara aman berlaku melalui aktiviti perdagangan, emigrasi dan hubungan diplomatik, contohnya kemuncak hubungan diplomatik Negara China dengan Kepulauan Melayu ialah zaman Kesultanan Melaka.

Manakala hubungan yang bercorak konflik peperangan berlaku semasa pemerintahan Dinasti Yuan/Monggol (1279-1368 Masihi) yang pernah menyerang Myanmar (Kemboja) dan Jawa pada abad ke-13 Masihi. Kesan positif daripada interaksi antara tamadun ini juga boleh dilihat pada hubungan antara Tamadun China-Jepun. Jepun telah mendapat faedah yang banyak hasil daripada hubungan ini. Tamadun China telah menyumbangkan beberapa perkara penting ke dalam Tamadun Jepun. Sumbangan yang penting ialah dari segi agama dan tulisan. Agama Buddha dari Negara China telah dikembangkan dalam Tamadun Jepun. Ajaran-ajaran Buddha ini telah diasimilasikan dengan agama asal orang Jepun, iaitu agama Shinto. Walaupun asimilasi ini berlaku tetapi ia tidak mengubah identiti ajaran Buddha. Kuil-kuil Buddha telah didirikan di Jepun. Agama Buddha telah mencapai zaman kemuncak semasa zaman Nara dan Heian.

Di samping agama, tulisan adalah satu lagi kesan penting yang dibawa oleh Tamadun China ke Jepun. Tulisan Cina telah menjadi asas kepada pembentukan tulisan Jepun, iaitu Hiragana dan Katakana. Pengaruh tulisan Cina telah memainkan peranan kepada perkembangan intelektual dan kesusasteraan dalam Tamadun Jepun. Di samping dua kesan positif yang penting ini, Tamadun China turut meninggalkan pengaruhnya ke atas upacara-upacara tertentu di Jepun, contohnya upacara minum teh, seni taman, serta struktur pembinaan bandar. Ajaran falsafah Konfusianisme dari China turut diasimilasikan dalam Tamadun Jepun. Ajaran Konfusianisme yang memberi penekanan kepada institusi keluarga telah memantapkan lagi institusi keluarga Jepun. Manakala, konsep mandat dari syurga telah memperkukuhkan lagi kedudukan Maharaja Jepun yang dipercayai berasal daripada keturunan Dewi Amaterasu. Interaksi antara Tamadun China dengan Jepun telah berlaku secara aman dan asimilasi Tamadun China dalam Tamadun Jepun telah memperkukuhkan identiti Tamadun Jepun.

1.4.3 Kesan Negatif
Adalah tidak tepat jika dikatakan bahawa interaksi antara tamadun hanya menghasilkan kesan positif. Sebaliknya interaksi antara tamadun turut menghasilkan kesan negatif. Di Eropah, misalnya hubungan antara orang-orang Kristian dengan Yahudi telah mengalami kemerosotan sejak awal lagi. Kesan daripada hubungan yang tidak baik ini menyebabkan berlakunya pembunuhan orang Yahudi secara beramai-ramai pada abad ke-9 dan ke-18 Masihi. Perkara ini berlaku akibat daripada faktor-faktor perbezaan agama, ketidakseimbangan ekonomi dan sosial. Begitu juga halnya dengan hubungan orang-orang Islam dengan Kristian dalam Zaman Pertengahan di Eropah. Pemerintah-pemerintah Kristian di Eropah telah bertindak melancarkan beberapa siri peperangan ke atas orang-orang Islam yang dikenali sebagai Perang Salib. Peperangan tersebut telah mengorbankan ramai penganut Islam dan Yahudi. Peperangan ini turut di-cetuskan oleh faktor-faktor perbezaan agama, ekonomi dan politik.

Di India juga, hubungan antara penganut Islam dengan Hindu sentiasa berada dalam keadaan tegang. Terdapat peristiwa-peristiwa yang mana orang-orang Islam dibunuh dan masjid-masjid dimusnahkan oleh raja-raja India yang beragama Hindu. Keadaan yang sama juga berlaku kepada penganut-penganut agama Hindu dan kuil-kuil Hindu yang dimusnahkan oleh pemerintah-pemerintah Islam. Contohnya, raja-raja Islam dalam Kesultanan Delhi telah mengharamkan pembinaan kuil-kuil dan mengharamkan beberapa upacara keagamaan Hindu.

Semasa zaman pemerintahan Moghul, Aurangzeb merupakan raja Moghul yang bertindak keras terhadap penganut-penganut Hindu. Baginda telah mengharamkan pembinaan kuil-kuil yang baru, mengharamkan upacara mandi suci di Sungai Jamuna, mengharamkan upacara sati dan lain-lain lagi.

Dalam hubungan antara Tamadun India dengan Tamadun China juga kita dapat melihat wujudnya konflik terutama semasa agama Buddha mula diperkenalkan ke dalam masyarakat Cina pada zaman pemerintahan Dinasti Han Timur. Kemasukan agama tersebut telah mendapat tentangan cendekiawan Konfusianisme yang amat berpengaruh dalam pentadbiran Dinasti Han. Sami-sami Buddha telah dikurung dan kuil-kuil Buddha dimusnahkan untuk menghalang perkembangan agama tersebut.

Kesan negatif turut berlaku dalam hubungan antara Tamadun Islam dengan Tamadun China. Contohnya pada tahun 751 Masihi, tentera Islam di bawah pimpinan Ziyad bin Salih telah mengalahkan angkatan perang China yang dipimpin oleh Kao Hsien-chih sedangkan pada masa tersebut kerajaan Islam Abbasiah mempunyai hubungan diplomatik dengan kerajaan Tang di Negara China. Permusuhan antara orang Islam dengan orang Cina juga dicetuskan oleh rasa tidak puas hati terhadap pencapaian ekonomi pihak yang bertentangan. Contohnya, pada abad ke-8 Masihi penduduk Han di tenggara Negara China telah mewujudkan permusuhan dengan orang Islam kerana iri hati terhadap kemewahan yang dinikmati oleh orang Islam yang kebanyakannya terlibat dalam aktiviti perdagangan. Pada tahun-tahun 758 Masihi dan 876 Masihi telah berlaku pemberontakan-pemberontakan yang menyebabkan ramai orang Islam dibunuh dan melarikan diri dari Canton. Pemberontakan pada tahun 876 Masihi bukan sahaja bersifat anti-Islam tetapi juga anti orang asing. Pemberontakan ini menyebabkan lebih kurang 120,000 hingga 200,000 orang asing telah dibunuh termasuk orang Islam.

Kesan daripada peristiwa tersebut menyebabkan ramai orang Islam telah melarikan diri dari Negara China dan berhijrah ke Asia Tenggara terutamanya di Palembang dan Kedah. Hubungan orang Islam dengan penduduk tempatan China turut terjejas semasa pemerintahan Dinasti Ching yang memberi keutamaan kepada pengukuhan ajaran Konfusianisme. Orang Islam mendapat layanan yang tidak adil daripada pemerintah Ching. Rasa tidak puas hati penganut-penganut Islam disokong pula oleh perkembangan pengaruh gerakan Kaum Muda ataupun Wahabi di kalangan orang Cina Islam. Rasa tidak puas hati orang Islam telah menyebabkan berlakunya beberapa siri pemberontakan semasa pemerintahan Dinasti Ching, iaitu Pemberontakan Sinkiang I (1756 Masihi), Pemberontakan Kansu (1781 Masihi), Pemberontakan Jehangir (1820-27 Masihi), Kebangkitan Yussof Syamsuddin (1828-31 Masihi), pemberontakan Yunan (1850-68 Masihi), Pemberontakan Shensi dan Kansu (1862 Masihi) dan Kebangkitan Sinkiang (1864-77 Masihi). (Azhar Hj. Mad Aros : 2003).